PETALING JAYA: “Masuk penjara pun saya tidak takut masa saya dedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), apa pulak nak mengelak kalau setakat podcast”.
Demikian respon Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika didakwa mengelak daripada berdepan dengan pengkritik-pengkritiknya.
Menurut beliau, jadual hariannya sudah penuh maka tidak mempunyai ruang untuk perkara lain.
“Jadual telah disusun, Julai sudah penuh slot, Ogos – Lim Sian See (atau apa pun namanya, kita hanya akan tahu apabila dia menandatangani borang pengisytiharan siapa dia sebenarnya).
“Isham Jalil sudah tolak walaupun dijemput, resit pun ada. (Datuk Dr Mohd) Puad Zakarshi, dia wakil rakyat daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan, lebih baik bincang dalaman kalau tidak puas hati,” katanya menerusi X.
Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd. Zaid Ibrahim menggesa Timbalan Presiden PKR itu berhenti daripada mengelak individu-individu berkenaan.
Tegasnya, Rafizi perlu mengotakan cabarannya sendiri untuk bersemuka dengan kesemua mereka dalam podcast ‘Yang Bakar Menteri’ dikendalikan olehnya sendiri
“Sekarang adalah masanya, saya harap anda akan memilih Sian See sebagai mangsa pertama. Mari kita lihat sejauh mana kepintaran anda tapi saya rasa awak tidak begitu serius sebab sudah beri pelbagai alasan untuk mengelak.
Menteri yang cemerlang tidak perlu meminta kebenaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bercakap dengan rakyat biasa. Adakah awak minta kebenaran Perdana Menteri untuk menyatakan bahawa kos bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersamaan dengan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC)? Sedangkan Perdana Menteri baru menggesa projek tersebut disegerakan,” jelasnya.- UTUSAN










