Masih ada pihak tawar lesen terbang - Anthony Loke

Masih ada pihak tawar lesen terbang – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 RDS Driving Academy Sdn. Bhd. dan Projek L Orang Asli serta Perasmian Bilik Ujian KPP01 dan Sistem eTesting di RDS Driving Academy di Seremban, semalam. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan mengesan masih terdapat pihak yang menawarkan `lesen terbang’ kepada orang ramai yang mahu mendapatkan lesen memandu tanpa menduduki sebarang ujian.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook sehubungan itu menegaskan, pihaknya akan memantau perkara tersebut dalam memastikan industri institut memandu bebas daripada gejala negatif berkenaan.

Katanya, kementerian akan bertindak tegas termasuk membatalkan permit mana-mana institut memandu yang dikesan terlibat dalam sindiket yang menawarkan ‘lesen terbang’.

“Kita tidak mahu lagi ada institut memandu yang cakap tidak payah datang pun boleh dapat lesen ataupun disebut ‘lesen terbang’, kita mahu lawan habis-habisan. Institut memandu yang terlibat dalam sindiket atau apa-apa skim ‘lesen terbang’ kalau dapat dikesan, lesen mereka akan dibatalkan, ini amaran kepada semua institut memandu.

“Saya sokong industri institut memandu sebab itu banyak cadangan mereka yang kami terima dan berikan kelonggaran seperti mengurangkan tempoh pemeriksaan di Puspakom malah dua hari lagi juga akan ada lagi pengumuman yang saya akan buat bagi memudahkan institut memandu.

“Jadi saya hanya mahu minta institut memandu jangan terlibat dalam apa-apa unsur yang tidak baik dan rasuah, ini mesti kita hapuskan bersama,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 RDS Driving Academy Sdn. Bhd. dan Projek L Orang Asli serta Perasmian Bilik Ujian KPP01 dan Sistem eTesting di sini, semalam.

Anthony Loke bagaimanapun memberitahu, gejala tawaran ‘lesen terbang’ diakui semakin berkurang berbanding dahulu namun masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“Misalnya ada yang cuba mengiklankan di media sosial bahawa mereka boleh memberikan lesen dengan bayaran tertentu tanpa melalui proses ujian, itu jelas satu sindiket penipuan. Kebanyakannya memang tidak melibatkan institut memandu ia satu bentuk penipuan,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu menambah, pihak kementerian bersungguh-sungguh mahu menghapuskan sindiket ‘lesen terbang’ dan pelaksanaan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) antara langkah yang telah diambil.

Sehubungan itu, beliau meminta institut memandu di negara ini untuk memulakan langkah dan membiasakan operasi mereka dengan penggunaan eTesting sebelum sistem itu diwajibkan beberapa tahun lagi.

“Kita mahu eTesting ini menjadi satu budaya, memang hala tuju dalam masa lima tahun ini eTesting ini akan diwajibkan, setakat ini kami berikan kelonggaran dan pilihan sama ada mahu buat secara konvensional ataupun secara eTesting.

“Keadah secara konvensional ini secara berperingkat akan diberhentikan jadi kita perlu biasakan kaedah eTesting, jadi ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Banyak institut memandu berminat selepas eTesting dilancarkan pada April lalu, ramai sudah memohon dan kumpulan pertama pemohon akan dapat surat kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan tidak lama lagi seterusnya boleh memulakan sistem eTesting ini,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN