MASA komited perkasa kelestarian alam sekitar 

MASA komited perkasa kelestarian alam sekitar 

Institut Masa Depan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) komited dalam memperkasa kelestarian alam sekitar sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, wawasan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tersebut menekankan kepentingan pembangunan ekonomi yang seimbang dan mampan dalam memastikan kekayaan dinikmati bersama oleh rakyat Malaysia.

Katanya, salah satu aspek penting visi itu adalah menjaga dan mengurus sumber asli serta alam sekitar secara berkesan dan mampan dengan WKB2030 memfokuskan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar.

“Sebagai komitmen kepada visi ini, MASA akan berusaha mempromosi dasar dan amalan pengurusan tanah secara mampan, yang tidak hanya memelihara landskap semula jadi, tetapi juga menyokong kehidupan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.

Kata Azril, dari segi perspektif Islam, penjagaan alam sekitar merupakan prinsip asas yang menekankan elemen pencegahan, pemeliharaan, dan pemuliharaan di mana Islam menekankan kepentingan iman, akhlak dan etika dalam interaksi dengan alam sekitar.

“Al-Quran dan hadith turut menekankan perlunya melindungi dan memelihara bumi sebelum terlambat serta penekanan terhadap tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan yang diambil  bakal menentukan keadaan alam sekitar untuk generasi akan datang.

 “Dengan mengamalkan amalan mampan dan inovasi, kita akan berupaya memulihkan kerosakan yang telah berlaku pada alam sekitar kita kerana kita merupakan generasi yang bertanggungjawab terhadap bumi kita atau yang disebut #GenerationRestoration,”jelasnya.

Beliau berkata, sempena Hari Alam Sekitar, komitmen dalam melindungi dan memulihkan alam sekitar perlu diperkukuh.

“Hanya dengan usaha secara bersama, kita dapat memastikan “Tanah Kita, Masa Depan Kita” membuahkan limpahan kekayaan semula jadi dan ketahanan alam sekitar buat Malaysia demi kemakmuran bersama semua lapisan rakyat negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×