Marzuki hanya simpan dua baldi air

Marzuki hanya simpan dua baldi air

Lori tangki air yang disedíakan oleh Air Selangor sekiranya kekurangan bekalan air. -UTUSAN/AHMAD FITRI MOHD AS'RI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun sudah mendapat notis awal tentang gangguan bekalan air selama tiga hari bermula pagi ini, masih ada yang terlupa untuk menyimpan air untuk kegunaan sepanjang tempoh gangguan berlaku.

Ahmad Marzuki Abdullah, 35, yang masih bujang dan menyewa di Bukit Bintang berkata, kesibukan bekerja menyebabkan dia terlupa tentang notis gangguan air itu.

Katanya, beliau hanya sempat catu hanya dua baldi besar sahaja untuk menghadapi tiga hari berkenaan.

“Saya hanya sempat simpan dua baldi air. Ini pasti tidak cukup untuk kegunaan harian selama tiga hari. Terpaksalah saya mencari alternatif untuk mendapatkan bekalan air,” katanya ketika ditemui semalam. 

Pada 15 Mei lalu, Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan kira-kira tiga juta penduduk Lembah Klang akan menghadapi gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja-kerja penyelenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Su­ngai Selangor Fasa 1 pada 5 Jun. 

Katanya, ia melibatkan kira-kira 660 kawasan perumahan, industri dan institusi pendidikan tinggi termasuk di Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Sela­ngor.

Kerja-kerja penyelenggaraan kali kedua selepas yang pertama pada 2021 itu akan bermula pukul 9 pagi, 5 Jun dan dijangka siap pada pukul 7 malam hari yang sama tetapi bekalan dijangka pulih secara berperingkat bermula pukul 3 pagi 6 Jun hingga 3 pagi pada 7 Jun.

Syarikat konsesi air berke­naan memaklumkan, tempoh masa pemulihan bekalan bergantung kepada kawasan seperti jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan.

Bagi penduduk Selayang, Muhammad Ridzwan Mohd Asri, 57, berkata, memang ada lori tangki air disediakan oleh pihak Air Selangor dalam tempoh gangguan tersebut.

Beliau berharap, kerja-kerja penyelenggaraan itu berjalan lancar dan mengikut jadual agar tidak menjejaskan para pengguna bagi tempoh yang lebih lama.

“Masalahnya adalah nak beratur mengangkat tong air kerana banyak tong yang perlu diangkat,“ katanya yang sudah menetap di situ sejak tujuh tahun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN