Malaysia bawa masuk teknologi sistem pembentungan, saliran termaju - Utusan Malaysia

Malaysia bawa masuk teknologi sistem pembentungan, saliran termaju

Teknologi pembentungan
TENGKU Zafrul Aziz menyaksikan pementeraian MOU antara MALTT dan 5Elem Hi-Tech Corporation Technology, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sektor pembinaan negara bakal menerima pembaharuan dalam teknologi pembentungan dan pemulihan saluran paip menerusi kerjasama sebuah organisasi tempatan dengan dua syarikat antarabangsa.

Perkara itu diumumkan Persatuan Teknologi Saliran Trenchless Malaysia (MALTT) yang menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan 5Elem Hi-Tech Corporation Technology Co Ltd dari China dan NordiTube Technologies SE dari Belgium.

MALTT dalam kenyataannya berkata, kerjasama tersebut penting untuk membawa teknologi sistem saluran dan pembentungan termaju tanpa perparitan terbuka di seluruh negara.

“Antara yang dipersetujui dalam MOU tersebut adalah pemindahan teknologi milik 5Elem Hi-Tech Corporation Technology sebagai peneraju dalam teknologi saluran tanpa parit kepada MALTT.

“Teknologi tersebut direka untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pemulihan saluran paip, memastikan perkhidmatan air dan pembetungan yang mampan dan boleh dipercayai untuk penduduk di negara ini,” katanya.

Tambahnya, kerjasama antara ketiga-tiga syarikat itu dimeterai ketika lawatan rasmi sulung Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia, baru-baru ini dan turut disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Terdahulu, MITI dilapor memudahcara pertukaran 11 MOU antara syarikat Malaysia dan China, dengan potensi pelaburan berjumlah RM13.2 bilion.

Tengku Zafrul memberitahu, kementeriannya berbesar hati melihat semangat kerjasama kerajaan dengan kerajaan yang disambut baik oleh sektor swasta kedua-dua negara, melalui pertukaran MoU dalam pelbagai sektor bernilai tinggi.

“MITI berharap untuk melihat kerjasama ini meningkatkan ekonomi kita, termasuk mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, mengembangkan perdagangan dalam sektor perkhidmatan dan menarik pelaburan berkualiti tinggi, di samping memperkasa pembangunan modal insan dan hubungan rakyat dengan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×