SHAH ALAM: Rundingan semula perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang diyakini akan diadakan semula selepas ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) menolak deraf yang dikemukakan kepada mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun rundingan semula itu sudah tentu tidak akan tersasar daripada syarat asal yang ditetapkan dalam draf memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini.
Menurutnya, keputusan untuk mempersetuji MoU tersebut diserahkan kepada pimpinan parti dan ahli parlimen pembangkang sama ada mahu menerima perjanjian tersebut ataupun menolak selepas draf tersebut diserahkan kepada mereka.
Jika mereka setuju atau sebaliknya, itu terserah kepada pemimpin-pemimpin mereka selepas berbincang dengan ahli parlimen yang berada dibawah mereka dan tentunya syarat-syarat dan juga beberapa butiran dalam draf iaitu perkara difikirkan oleh Kerajaan Perpaduan kerana kita mempunyai suara lebih dua pertiga.
“Kerajaan sudah mengemukakan draf itu, kalau mereka mahu menerima, terimalah tanpa syarat atau boleh diadakan perincian dari perundingan kalau tidak terima, kita lupakan sahaja. Saya pasti akan ada rundingan tetapi tak lari dari syarat yang ada dalam draf MoU,” katanya, ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung MIC Ke-78, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan kesemua ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) secara sebulat suara kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Beliau berkata, gabungan Parti Bersatu dan Pas menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, langkah menolak MoU tersebut adalah tepat kerana kandungannya seolah-olah menjadikan blok pembangkang hanya sekadar rubber stamp atau ‘pak turut’ kerajaan.
Menurutnya, antara kandungan MoU tersebut adalah pembangkang tidak boleh membuat sebarang bangkangan di Parlimen.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menjelaskan MoU tersebut tidak boleh disamakan dengan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) yang dilakukan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
“CSA sebelum ini yang diberikan kepada pembangkang ketika adalah berbeza kerana memerlukan sokongan untuk meluluskan ucapan dan peruntukan belanjawan. Tetapi, pada kali ini dengan adanya 153 sokongan ahli parlimen, CSA tidak diperlukan.
“Namun, apa yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai pengerusi jawatankuasa itu adalah sesuatu yang didraf dan diserahkan kepada pembangkang dan terserah kepada mereka bersetuju atau sebaliknya,” jelasnya. – UTUSAN










