SHAH ALAM: Sebanyak RM850,000 diagihkan menerusi Sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada 109 penerima terdiri daripada agensi dan individu melibatkan peruntukan seperti bantuan penganjuran program, sosial, baik pulih dan pendidikan sehingga Jun tahun ini.
Antara penerima peruntukan dan bantuan tersebut seperti As-Sofa Centre Of Excellence yang menerima RM30 ribu bagi sumbangan pembinaan dewan Maahad Tahfiz As-Sofa, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sijangkang Jaya menerima RM20 ribu bagi baik pulih surau sekolah, Masjid al-Islamiah Kg.Lindungan.
Turut menerima sumbangan tersebut adalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia menerima RM10 ribu bagi Program Akademi Daie Muda YADIM.
Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, beliau menggalakkan umat Islam untuk terus menunaikan tanggungjawab melalui MAIS terutama yang melibatkan perkhidmatan Pengurusan Harta Pusaka, pembayaran fidyah, pelunasan wang tidak patuh syariah, pengurusan wasiat dan hibah.
“Seterusnya umat Islam dianjurkan melunaskan tanggungjawab berzakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan menunaikan wakaf kepada Perbadanan Wakaf Selangor yang kedua-duanya adalah agensi MAIS,” katanya pada Majlis Simbolik Serahan Sumbangan Maslahah Umum MAIS melibatkan lapan orang penerima berjumlah RM195,500, semalam.
Jelasnya, MAIS akan terus memainkan peranan membantu berkaitan maslahah ummah melalui peruntukan Baitulmal MAIS antaranya daripada sumber Wang Tidak Patuh Syariah.
Sementara itu, Pengurus Besar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Haryani Abdullah sebagai wakil penerima bagi Yayasan Universiti Pahang (YUP) berkata, MAIS dan LZS antara antara organisasi yang teratur dan tersusun.
Menurutnya, inisiatif tersebut dapat melancarkan urusan pembelajaran mereka yang tergolong pelajar B40 universiti tersebut.
“YUP menerima sumbangan untuk membantu Dana Kebajikan Anak Negeri Selangor, mengucapkan jutaan terima kasih kepada MAIS dan LZS yang banyak membantu anak-anak Selangor di universiti mereka,” ujarnya.
YUP menerima sumbangan sebanyak RM57,000 daripada MAIS. – UTUSAN










