PETALING JAYA: Polis mengesan beberapa lagi ahli sindiket yang bersubahat dengan pegawai bank berhubung kehilangan wang simpanan beberapa pelanggan sebuah bank yang bernilai RM24.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya setakat ini menahan lima individu terdiri daripada dua pegawai bank dan tiga ahli sindiket bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Menurut beliau, kesemua suspek berusia 30 hingga 50-an itu ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Perlis.
“Sebelum ini kita menahan pengurus bank di Kota Kinabalu. Penahanan suspek membawa kepada tangkapan rakan sekerjanya.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu bergiat aktif melakukan kegiatan di Kota Kinabalu. Justeru kita sedang mengesan individu lain dipercayai ahli sindiket terlibat dalam kes itu, “ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada yang ditahan mempunyai jenayah lampau berkaitan pecah amanah pada 2011.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Sabtu lalu, media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM24.2 juta.
Ramli dilaporkan berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah, 13 Jun lalu.
Katanya, siasatan setakat ini mendedahkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan.
“Ini memandangkan urusan tersebut hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman.
“Melalui serbuan yang dijalankan, kita turut merampas tiga unit telefon bimbit beserta kad sim, lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM4,400 dan sebuah komputer riba,” katanya. – UTUSAN










