PETALING JAYA: Bidang teknologi baharu, perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan inovasi digital menjadi rebutan industri sekali gus boleh menjadi panduan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memilih program pengajian di peringkat tinggi.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, terdapat permintaan lebih tinggi dalam pekerjaan yang berkaitan dengan teknologi, pembangunan perisian, analisis data, keselamatan siber dan pemasaran digital.
“Lepasan SPM juga hendaklah mencari cara untuk meningkatkan tahap kemahiran mereka.
“Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan laluan yang menjanjikan jalan alternatif bagi mereka yang mungkin tidak cemerlang dalam akademik tradisional, tetapi memiliki kemahiran praktikal yang amat diperlukan dalam pelbagai industri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Syed Hussain berkata, Program TVET digubal dengan kerjasama pihak berkepentingan industri, memastikan kemahiran yang diajar adalah sejajar dengan keperluan dan piawaian industri semasa.
Justeru, katanya, mereka yang menamatkan program TVET akan dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh majikan dalam pelbagai sektor.
“Lepasan SPM yang memulakan kerjaya mereka dalam bidang berkaitan TVET boleh melanjutkan pelajaran dan latihan untuk meningkatkan kemahiran, kelayakan dan prospek kerjaya mereka dari semasa ke semasa.
“Pelajar TVET juga didedahkan dengan landskap antarabangsa. Sehingga Mei 2024, seramai 850 pelajar TVET Malaysia sedang menjalani latihan di China.
“Latihan pelajar TVET di institusi di China dalam bidang lanjutan seperti teknologi kereta api, robotik, kecerdasan buatan (AI), internet pelbagai benda (IoT), multimedia animasi, dan e-dagang meningkatkan kemahiran dan menyediakan mereka untuk pasaran pekerjaan masa depan.
“Pendedahan antarabangsa ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran mereka, tetapi menyokong matlamat ekonomi dan teknologi sebagaimana digariskan dalam Ekonomi Malaysia Madani,” katanya.
Syed Hussain bagaimana berpandangan, belia yang celik teknologi yang menceburi sektor kewangan lebih gemar menceburi bidang teknologi kewangan, perbankan digital serta mata wang kripto.
Selain itu, katanya, terdapat minat yang semakin meningkat dalam kalangan belia dalam pekerjaan hijau memandangkan tumpuan yang semakin meningkat pada kemampanan dan perlindungan alam sekitar.
“ini termasuk peranan dalam tenaga boleh diperbaharui, pertanian lestari, perundingan alam sekitar dan lain-lain.
“Dengan pertumbuhan platform e-dagang dan pertumbuhan kedai TikTok yang membolehkan jualan dan pemasaran dalam talian secara langsung, belia Malaysia berminat untuk menerokai kerjaya dalam bidang peruncitan digital, syarikat permulaan e-dagang dan agensi pemasaran digital,” katanya. – UTUSAN










