GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga China lemas selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran perairan Pulau Tikus, di sini semasa berada di atas sebuah tongkang besi, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.14 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, mangsa, Miao Baddong, 52, dilaporkan terjatuh ketika sedang menjalankan kerja-kerja di atas tongkang besi di kawasan berkenaan.
“Pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat dengan dibantu oleh unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan agensi lain,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa bagaimanapun berjaya dijumpai kira-kira pukul 2.54 petang tadi di kawasan Pulau Andaman, Tanjung Tokong di sini.
“Mayat tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.-UTUSAN










