TAIPING: Bimbang ditangkap kerana kononnya terlibat aktiviti pengubahan wang haram, seorang lelaki warga emas kerugian RM177,700 selepas terpedaya sindiket ‘phone scam’ menyamar pihak berkuasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan bermula pada 12 Jun lalu sekitar pukul 2.30 petang selepas mangsa berusia 72 tahun menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai wakil daripada Kementerian Komunikasi Digital.
Menurutnya, suspek memberitahu mangsa bahawa dia perlu pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kerana didapati terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang termasuk penggubahan wang haram.
“Mangsa menafikan terlibat dengan kegiatan itu menyebabkan talian panggilan kemudian disambungkan kepada suspek kedua yang menyamar polis.
“Suspek kedua telah memujuk akan membantu mangsa dengan perlu menyerahkan butiran akaun bank termasuk kata laluan sekali (OTP).
“Suspek memaklumkan akan memindahkan wang dari akaun mangsa dan memberi jaminan bahawa wang tersebut akan dikembalikan selepas siasatan selesai,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang juga pegawai khidmat masyarakat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasa takut dan cemas telah menuruti permintaan suspek tersebut.
Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas semakan di sebuah bank mendapati wang simpanannya berkurangan.
“Terdapat lima transaksi mencurigakan telah dipindahkan ke lima akaun berbeza. Mangsa cuba menghubungi suspek kedua namun gagal.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 11.59 pagi Khamis lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – UTUSAN










