KULIM: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun kepada seorang lelaki selepas dia didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada seorang anggota polis pada Julai 2022.
Tertuduh, Chua Kai Choon, 48, juga didenda RM30,000 atau dua tahun penjara jika tidak membayar denda berkenaan selain lesen memandunya digantung selama lapan tahun.
Majistret Jamaliah Abd. Manap menjatuhkan hukuman tersebut selepas Kai Choon mengaku bersalah atas pertuduhan yang dipinda di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Hizween Azleena Othman Kamal sementara Kai Choon diwakili peguam, Chong Seng Ming.
Tertuduh dituduh memandu pacuan empat roda jenis Nissan Frontier dengan jumlah alkohol yang banyak dalam badan iaitu 345mg/100ml sehingga jumlah kadar alkohol dalam darah melebihi 295mg/100ml di Jalan Kulim-Serdang berhampiran bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada 9.15 pagi, 16 Julai 2022.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh yang disyaki penyeludup diesel menjalani hukuman penjara lima tahun lagi dan denda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika tidak bayar denda selepas dia turut mengaku memandu secara melulu pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Lelaki itu turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan modifikasi haram pada kenderaannya untuk menyeludup bahan api subsidi selain dijel selama lapan bulan selepas mengaku bersalah menghalang mangsa daripada menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam.
Dalam penghakimannya, Jamaliah menyatakan bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh serius dan meninggalkan trauma kepada mangsa dan orang ramai. Kesemua hukuman penjara yang keseluruhannya berjumlah 13 tahun lapan bulan bermula hari ini. –UTUSAN











