PETALING JAYA: Senyuman menjadi senjata tersendiri buat tekong utama negara, Mohamad Syahir Mohd Rosdi ketika skuad regu lelaki negara berdepan tekanan untuk bangkit menewaskan Filipina 2-1 dalam separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Malaysia terlebih dahulu dikejutkan Filipina yang memenangi set pertama 15-10, namun kemasukan Syahir dan Mohamad Azlan Alias membantu mengubah rentak permainan sebelum skuad negara memenangi dua set berikutnya 15-11, 15-7.
Syahir berkata mereka tidak membiarkan tekanan menguasai permainan selepas kehilangan set pembukaan, sebaliknya kembali memberi tumpuan kepada arahan jurulatih untuk memastikan kebangkitan dapat dilakukan.
“Kami berada di bawah tekanan tinggi dalam perlawanan ini. Filipina bermain dengan baik pada set pertama dan kami kalah, tetapi kami berjaya bangkit memenangi dua set berikutnya.
“Selepas kalah set pertama, kami mendengar arahan jurulatih dan memastikan segala yang diberitahu dilaksanakan,” katanya selepas perlawanan di Mizuho Park, semalam.
Menariknya, Syahir mengakui senyuman yang sering terukir di wajahnya ketika regu negara ketinggalan bukan sekadar untuk menceriakan suasana, sebaliknya menjadi cara untuk mengurangkan tekanan ketika beraksi.
“Apabila kami tersenyum, kami tidak rasa terlalu tertekan. Senyum adalah salah satu cara untuk melepaskan tekanan ketika perlawanan dan memastikan kami kekal tenang.Ia banyak membantu kami dalam perlawanan ini,” katanya.
Kemenangan itu membawa Malaysia ke final untuk berdepan Thailand, namun Syahir mengakui cabaran lebih getir menanti apabila bertemu gergasi sepak takraw itu dalam perebutan pingat emas.
“Untuk mara ke final sangat mencabar. Ia akan menjadi lebih mencabar kerana kami akan berdepan Thailand.
“Saya tidak tahu sama ada kami akan menang atau tidak, tetapi kami akan cuba yang terbaik,” katanya. – UTUSAN











