“MANUSIA dengki ini ramai, hati-hati,”
Ringkas tapi hantaran yang dibuat penyanyi, Sarah Suhairi itu mengundang tanda tanya apa sebenarnya terjadi membuatkan juara Big Stage musim pertama itu berkata demikian.
Penyanyi SAH itu tidak menafikan hantaran itu dibuat secara umum, tidak berniat ditujukan kepada mana-mana individu namun tidak juga menafikan bahawa orang yang baik di hadapan, kadangkala hanya sekadar talam dua muka.
Sarah, 26, seolah memberi gambaran terguris mendengar cakap-cakap belakang mengenai dirinya yang disampaikan oleh orang lain.
Bagaimanapun, dia cuba untuk tidak ambil pusing kerana perkara seperti itu memakan banyak tenaga yang sepatutnya digunakan untuk fokus kepada kerjaya.
“Sekarang ini semua orang boleh jadi sangat baik dengan kit, tapi kita tak pernah tahu apa yang sedang dikatakan di belakang kita.
“Buang masa kalau kita nak korek itu, ini. Jadilah diri sendiri dan fokus dengan apa yang mahu diperbaiki. Jangan fikir orang lain sebab orang lain mereka akan sentiasa ada sesuatu untuk diperkatakan.
“Hanya kita yang tahu peribadi sendiri termasuk apa yang ingin dicapai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tegas berpesan kepada pihak tertentu, Sarah bagaimanapun berkata jika seseorang bertindak untuk menjadi talam dua muka, dia tidak memiliki kuasa untuk cuba menjernihkan segalanya.
“Kalau anda nak talam dua muka, itu anda, bukan saya. Jadi okey, teruskanlah. Kita dengar perkara tertentu tapi sama ada ia betul atau tidak, tak kisah pun.
“Saya tak nak fikir, macam buang masa buat kita sakit hati saja, buat penat mental. Jadi macam tak apalah, saya nak fokus nyanyi. Kena jaga hati sendiri juga.
“Kadang-kadang kita tak boleh nak rasa semua orang serang kita. Cuba kita bertenang, fikir balik kita nak buat apa sebenarnya? Jangan selalu rasa diri sendiri mangsa tetapkan matlamat dan berusaha ke arah itu,” katanya.
Tak Perlu Rasa
Bercerita tentang fokus kepada kerjaya, Sarah baru sahaja melancarkan agu terbaharunya Tak Perlu Rasa, minggu lalu. Katanya, lagu pop itu dikeluarkan bagi memenuhi permintaan peminat yang mahukan lagu-lagu rancak sekali gus membantu orang diluar sana keluar dari hubungan toksik.
“Selepas lagu ini terbit, saya terima mesej daripada peminat di media sosial meluahkan perasaan mereka seperti baru-baru ini, seorang pengguna berkongsi rasa sedih berpisah dengan kekasihnya selepas tujuh tahun bercinta,
“Saya fikir, kalau mereka mahu berkongsi kisah masing-masing, silakan. Jika lagu saya membantu mereka untuk ‘move on’, saya tumpang gembira,” katanya.
Tambah Sarah lagi, lagi Tak Perlu Rasa merupakan lagu awal yang dikongsikan sebagai pembuka mini album (EP) yang bakal menemui pendengar tidak lama lagi.
“Saya akan terbitkan album mini mengandungi lima lagu di mana saya berkolaborasi dengan ramai komposer berbakat.
“Saya akan kongsikan sedikit demi sedikit lagu dalam EP yang akan keluar insyaAllah pada 13 November nanti,” katanya.











