KUANTAN: Kira-kira 40,000 penternak lembu dan kambing tempatan di seluruh negara terjejas dan berdepan risiko gulung tikar ekoran lambakan haiwan berkenaan dari Thailand yang seolah-olah tiada penyelesaian sejak 2016.
Seorang penternak, Mohd. Razi Hassan, 43, berkata, harga lembu dan kambing Thailand tidak masuk akal dan mereka yang mengusahakannya mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda sehingga boleh menjadi ‘tauke’ segera.
“Penawaran harga lembu dan kambing Siam ini kadangkala dilihat seperti tidak masuk akal kerana mereka jual jauh lebih murah iaitu sekitar RM1,700 hingga RM2,500 bagi seekor lembu manakala RM300 hingga RM500 bagi kambing.
“Pembeli sememangnya berusaha mendapatkan lembu dan kambing jauh lebih murah memandangkan haiwan ternakan tempatan harga yang ditawarkan sedikit mahal kerana bukan sahaja menternak sehingga dua tahun, malah menggunakan dedak dan diet yang berkualiti.
“Bagi penternak tempatan, kita jual ikut saiz, matang dan memang sudah sesuai untuk urusan ibadah korban serta aqiqah yang mana harga lembu di antara RM4,000 hingga RM5,500. Kambing pula purata harga sekitar RM700 hingga RM1,200 juga bergantung kepada saiz,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Razi berkata, untuk berdepan persaingan lembu dan kambing Thailand khususnya pada musim perayaan, penternak tempatan terpaksa menurunkan harga haiwan ternakan.
“Haiwan tersebut tidak boleh disimpan terlalu lama kerana perlu menanggung kos makanan. Jadi, dengan stok lembu dan kambing pada musim perayaan ini, kita terpaksa jual murah sedikit,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Generasi Transformasi Ruminan (GTR) Malaysia, Nordin Mat berkata, isu lambakan lembu dan kambing Thailand terutama pada musim perayaan bukan baharu kerana masalah itu sudah berlarutan sejak 2016.
Katanya, saban tahun kemasukan haiwan-haiwan itu dari Thailand semakin meningkat hingga tidak dapat dibendung disebabkan beberapa faktor iaitu bekalan di Malaysia berkurangan dan harga lembu dari Australia yang semakin meningkat tinggi.
“Kesan lambakan tersebut membuatkan penternak tempatan terpaksa berusaha keras khususnya dalam urusan permintaan serta penawaran haiwan tempatan.
“Masalah ini kalau tidak dibendung di peringkat penguatkuasaan terutama di sempadan dan ladang-ladang berhampiran sempadan memang tidak selesai. Penternak bila-bila masa sahaja boleh gulung tikar dan sememangnya sudah ramai pun yang terpaksa bertindak demikian,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan lembu dan kambing dari Thailand merupakan haiwan yang sebelumnya diimport dari Myanmar. – UTUSAN










