Laluan gelap, treler berhenti di lorong kanan punca kemalangan

Laluan gelap, treler berhenti di lorong kanan punca kemalangan BMW

KEADAAN kereta BMW yang dipandu seorang lelaki dan dinaiki tiga wanita Vietnam terlibat dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 123.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Pagoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Keadaan jalan gelap selain treler rosak yang berhenti di lorong kanan dipercayai punca kemalangan menyebabkan empat maut di Kilometer 123.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Pa­goh, malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kemalangan pukul 8.23 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun serta dua penumpang wanita warga Vietnam berumur 19 hingga 32 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Katanya, seorang lagi penumpang wanita yang juga warga Vietnam meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.

“Siasatan awal mendapati kejadian bermula daripada masalah kerosakan brek menyebabkan treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun terhenti di lorong kanan ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

“Ketika pemandu treler sedang menunggu bantuan daripada pasukan Plus Ronda, kereta BMW yang dipandu mangsa yang datang dari arah sama secara tiba-tiba merempuh belakang treler berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menerusi Hotline Polis Kontinjen Johor, 07-2212999 atau Hotline Polis IPD Batu Pahat, 07-4343999.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II, Jefri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.23 malam.

“Terdapat empat orang yang menaiki BMW dengan tiga daripadanya tersepit. Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mereka yang tersepit,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×