Lagi keistimewaan untuk jemaah haji Malaysia

Lagi keistimewaan untuk jemaah haji Malaysia

SYED Saleh Syed Abdul Rahman diberi penerangan tentang persiapan dan kelengkapan untuk jemaah semasa hari Wukuf di Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji Malaysia terus diberi keistimewaan menerusi kerjasama Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bersama Mashariq Holdings apabila khemah di Mina dan Arafah di naik taraf demi keselesaan.

Ketua Rombongan Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, penambahbaikkan itu hanya untuk jemaah haji Malaysia Muassasah dengan melibatkan beberapa kemudahan an­taranya tandas, pendingin hawa dan fasiliti khemah.

Setakat ini katanya, kerja-kerja naik taraf segala kemudahan di Mina dan Arafah mencapai tahap terbaik dan hampir siap iaitu 70 serta 80 peratus.

“Beberapa penambahbaikkan diusahakan Mashariq Holdings hasil perbincangan kita sejak tahun lalu. Antaranya di Arafah ada penambahan tandas dan bekalan air sebagai persediaan.

“Begitu juga di Mina apabila khemah yang digunakan kali ini dipasang dinding papan gipsum dan ditambah pendingin hawa. Sebelum ini kita hanya gunakan pendingin hawa yang lama, disediakan Kerajaan Arab Saudi. Semua ini demi keselesaan jemaah kita,” katanya.

Kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yag kali pertama menunaikan ibadah ini ditetapkan pada RM12,356 manakala RM19,152 bagi kumpulan M40.

Bagi jemaah T20, dikehendaki membuat bayaran penuh iaitu RM33,300.

Tambah Syed Saleh, khemah di Mina turut dilengkapi permaidani tebal untuk jemaah haji Malaysia selain mempunyai kemudahan kafeteria mini.

“Jemaah haji boleh mendapatkan minuman panas dan sejuk di setiap khemah sama ada di Mina dan Arafah,” ujarnya.

Syed Saleh berkata, semua kemudahan ini dinaik taraf bagi memastikan jemaah haji Malaysia menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN