PONTIAN: Tarian zapin yang sinonim dengan negeri Johor terus melahirkan bakat-bakat baharu bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah seterusnya ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Terdapat kira-kira 20 jenis tarian zapin di Johor yang gerak tarinya diasaskan oleh masyarakat Melayu tempatan, malah hampir semua daerah di negeri ini mempunyai versi tersendiri.
Antara versi yang popular ialah Zapin Melayu Johor, Zapin Lenga dan Putar Alam dari Muar, Zapin Pulau dan Tenglu (Mersing), Zapin Lapis Batu Putih (Batu Pahat) dan Zapin Parit Mastar (Pontian) serta Zapin Selat Panjang (Kluang) dengan masing-masing mempunyai keunikan tersendiri daripada segi gerak tari, muzik, seni kata dan pakaian.
Salah sebuah kumpulan zapin yang sedang kian popular ialah Kumpulan Zapin Langkah Gemilang Sukma (KZLGS) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawah, Pekan Nanas, di sini.
Guru Besar SK Kampung Sawah, Halil Yusof berkata, kumpulan tersebut baru sahaja muncul sebagai johan Pertandingan Tarian Rampai Kategori Sekolah Rendah sempena Jom Jelajah Bakat Peringkat Daerah Pontian di Sekolah
Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lork Yok, Benut, sekali gus akan mewakili dalam pertandingan peringkat negeri pada 13 Jun ini di Muar.
KZLGS juga meraih naib johan pertandingan tarian rampaian sempena Karnival Kokurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru baru-baru ini, bersaing dengan kumpulan dari beberapa negeri lain termasuk Indonesia serta turut menerima Anugerah Busana danTatarias Terbaik.
Sementara itu, guru penasihat Kelab Kebudayaan SK Kampung Sawah, Siti Norhana Samsudin berkata, KZLGS ditubuhkan pada 2017 di bawah bimbingan Amrilnorman Abd. Rashid.
Selepas beliau berpindah, KZLGS kemudian dipimpin secara bersama oleh beberapa guru penasihat seperti Ira Natasha Anina Abdullah, Siti Roslinda Sakor, Norhanida Supeni dan dibantu oleh Mohd. Nur Akmal Daem selaku jurulatih pasukan.
Penari terdiri daripada Arif Zafran Aizuddin, Izz Mikail Wafee Sharon Ezham, Abdul Azim Mesran, Nur Muhammad Qayyum Zairin, Ryana Qaleesya Lokman, Dhia Sumayyah Mohd. Khairudin, Sarah Nadirah Mohd. Khalid, Nur Aina Adreena Baharin, Nur Zara Sofia Hasni dan Mohd. Nazmie Samat.
“Latihan gerak asas dijalankan secara berkala, iaitu dua minggu sekali sewaktu perjumpaan kelab kebudayaan, manakala latihan intensif dijalankan seminggu tiga kali dan mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam terutamanya semasa persediaan untuk menyertai pertandingan tarian,” katanya. – UTUSAN










