SHAH ALAM: Krisis perlembagaan didakwa akan timbul jika Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusan menerusi tafsiran yang bertentangan dengan Akta Anti Lompat Parti 2022 berhubung kedudukan enam ahli parlimen daripada Parti Bersatu.
Bekas Menteri Keusahawanan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, speaker dan ahli parlimen perlu akur dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan akta tersebut supaya tidak dianggap enggan menghormati undang-undang.
Menurutnya, ini kerana undang-undang tersebut dibuat khusus kepada semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak terpakai kepada rakyat biasa.
“Pertama saya tengok seolah-olah akan ada krisis perlembagaan. Kedua, rakyat di bawah sana akan tertawa kerana pindaan yang dibuat itu khusus untuk ahli parlimen dan ADUN, tiba-tiba kita (mereka) tidak menghormati undang-undang yang dikenakan untuk ahli-ahli parlimen, bukan ada untuk rakyat ke, untuk nelayan, petani, tak ada kena mengena.
“Keputusan itu hanya dibuat khusus untuk mengawal pendirian ahli parlimen dan ADUN. Jadi, kalau tiba-tiba mereka tidak menghormati, tiba-tiba Speaker pula membuat tafsiran yang berbeza, bagi saya rakyat akan tertawakan, ini ke perangai ahli-ahli politik sama ada ahli parlimen ataupun ADUN,” katanya menerusi video dalam akaun media sosialnya, hari ini.
Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula pada Rabu.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN Bersatu berhubung keahlian ADUN, Mohd Azizi Abu Naim terbatal daripada Bersatu.
Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang menjelaskan, kesemua ahli Bersatu bertanggungjawab mematuhi pindaan perlembagaan parti yang dibuat untuk menghalang tindakan lompat parti.
“Jadi, apabila pindaan perlembagaan Bersatu dibuat, bermakna mereka adalah ahli Bersatu. Dia kena isytihar dia menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan hormat kepada pindaan (perlembagaan) partinya sendiri.
“Pada pandangan saya ia tak timbul sama ada sokongan itu dibuat selepas ataupun sebelum perlembagaan Bersatu dipinda kerana sepanjang menyokong Perdana Menteri dan sehinggalah pindaan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), mereka adalah masih ahli parti,” ujarnya.
Malah, tegasnya tindakan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Mei lalu adalah bertentangan dengan perlembagaan parti mereka sendiri.
“Jadi itu saya ingat kalau pergi tanya budak kecil pun boleh faham. Tentulah dia bukan sahaja melompat parti tetapi pentas, terang-terang berdiri atas pentas PH yang berlawan dengan partinya sendiri, apa maknanya?
“Jelaslah dia lompat parti, kalau tidak lompat parti kenapa boleh berkempen dengan pihak lawan dan berlawan dengan partinya sendiri. Kalau di Selangor, terutama Ahli Parlimen Tanjong Karang dan ADUN Selat Klang mereka berkempen atas pentas PH, jadi jelas tidak setia dan tidak lagi bersama dengan Bersatu,” jelasnya.
HABIS










