KPDN tahan pemandu lori seludup 700 liter petrol

KPDN tahan pemandu lori seludup 700 liter petrol

KPDN Pulau Pinang Berjaya mematahkan satu sindiket menyeludup petrol di sebuah stesen minyak di Sungai Rambai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mematahkan satu sindiket penyeludupan petrol dengan menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun di sebuah stesen minyak di Sungai Rambai di sini, hari ini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, pemeriksaan kira-kira pukul 5 pagi menerusi Ops Tiris 3.0 itu mendapati, seorang lelaki sedang mengisi minyak ke dalam sebuah lori jenis Nissan dalam keadaan mencurigakan.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati,terdapat sebuah pam motor dan hos paip dalam keadaan bersambung dan ia disyaki digunakan untuk membuat pemindahan minyak petrol dari pam terus ke dalam tangki IBC.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pemandu tersebut bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit bagi penyimpanan barang kawalan tersebut.

“Justeru, kita sita 700 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM1,435 manakala sebuah lori, enam unit tangki IBC, satu set motor pam dan paip dengan turut dirampas menjadikan nilai anggaran barang rampasan keseluruhan berjumlah RM23,135,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, pihaknya telah merakamkan kenyataan pemandu tersebut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 112) bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan itu.

“Selain itu, kita turut giat melakukan pengawasan dan rondaan di negeri ini bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN