Korban: Yayasan Amal TYT agih 252 ekor lembu tahun ini

Korban: Yayasan Amal TYT agih 252 ekor lembu tahun ini

YAYASAN Amal TYT Pulau Pinang dijangka mengagihkan sebanyak 252 ekor lembu sempena Program Ibadah Korban Perdana 2024 kepada 212 buah masjid dan 25 buah surau di seluruh Pulau Pinang.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang atau Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dijangka mengagihkan sebanyak 252 ekor lembu kepada 212 buah masjid dan 25 buah surau di seluruh negeri ini sempena Program Ibadah Korban Perdana 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, ibadah korban yang diuruskan oleh Yayasan Amal TYT Pulau Pinang pada tahun ini telah menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 100 ekor lembu sahaja.

“Program Ibadah Korban Perdana pada tahun ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan semua masjid yang mempunyai kariah di Pulau Pinang akan mendapat sekurang-kurangnya seekor lembu untuk dijadikan korban melainkan masjid yang tidak mempunyai halaman untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Rozali, peningkatan penyertaan daripada penyumbang secara tidak langsung telah mencerminkan keyakinan daripada mereka terhadap pengurusan ibadah korban oleh Yayasan Amal TYT Pulau Pinang.

“Objektif utama Program Korban Perdana 2024 adalah untuk mengukuhkan ikatan silaturahim di antara ‘ulil amri’ iaitu Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dengan pihak yang menyumbang atau yang membuat korban dan penerima daging korban daripada golongan B40,” katanya.

Tambah beliau, penghantaran lembu korban ke masjid-masjid dan surau yang terpilih akan dibuat esok.

“Ibadah korban akan dilaksanakan oleh pengerusi kariah bersama pasukan mereka pada Hari Raya Aidil Adha yang pertama manakala sebahagian kecil daripada masjid-masjid yang mengambil bahagian akan melaksanakannya pada Hari Tasyrik,” katanya.

Dalam pada itu, Rozali berkata, Ahmad Fuzi bersama-sama dengan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor serta kenamaan negeri akan menyaksikan pelaksanaan ibadah korban di Masjid Negeri Pulau Pinang selepas solat sembahyang sunat Aidil Adha.

Katanya, Ahmad Fuzi dan isteri kemudian akan membantu mengedarkan daging korban kepada asnaf sebagai simbolik pelaksanaan ibadah korban di seluruh Pulau Pinang.

“Keperihatinan Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan kepada rakyat harus disanjung tinggi. Kami menjangkakan kira-kira 13,500 golongan B40 akan mendapat sekurang-kurangnya dua kilogram (kg) daging untuk dimasak mengikut kegemaran cita rasa mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini