Klinik baharu tingkat kualiti khidmat kesihatan di Balik Pulau - Dzulkefly

Klinik baharu tingkat kualiti khidmat kesihatan di Balik Pulau – Dzulkefly

Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) ketika merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih yang siap dibina pada 31 Oktober tahun lepas dengan kos sebanyak RM30 juta telah beroperasi sepenuhnya bermula Februari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, klinik baharu itu dibina bagi menggantikan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Air Putih yang tidak lagi dapat menampung keperluan perkhidmatan kesihatan pada masa ini.

“Klinik kesihatan ini mampu menampung kapasiti sehingga 500 pesakit dalam sehari dan ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan primer untuk penduduk Balik Pulau,”katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, klinik baharu itu turut dilengkapi dengan 16 unit kuarters untuk kakitangan yang bertugas.

“Klinik Kesihatan Air Putih yang baharu menawarkan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh meliputi Rawatan Pesakit Luar,Perkhidmatan Kesihatan Ibu Dan Anak, Klinik Pergigian, Rawatan Kecemasan, Perkhidmatan Farmasi, Makmal Perkhidmatan Diagnostik dan perkhidmatan sokongan lain,” katanya.

Tambahnya, selaras dengan pengoperasian klinik ini, perkhidmatan Jabatan Pesakit Luar di Hospital Balik Pulau telah ditutup dan dipindahkan ke Klinik Kesihatan Air Putih.

“Susulan perpindahan tersebut, perkhidmatan di Hospital Balik Pulau ditambah baik melalui pengoperasian Klinik Pakar melibatkan 15 bidang kepakaran, yang ditawarkan di ruang asal Jabatan Pesakit Luar.

“Oleh itu, kesesakan yang berlaku di Hospital Balik Pulau juga dapat dikurangkan secara signifikan serta membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kepakaran dengan lebih cepat dan efisien,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, beliau sempat melawat Klinik Kesihatan Bayan Lepas yang telah menerima kelulusan serta-merta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, April lalu untuk dibangunkan semula sebagai Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bayan Lepas, Daerah Barat Daya dengan kos keseluruhan sebanyak RM72 juta.

“Dalam hal ini, KKM telah menerima kelulusan rasmi daripada Kementerian Ekonomi dan telah melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana projek ini.

“Bagi merealisasikan pelaksanaan projek ini juga, perkhidmatan klinik sedia ada akan dipindahkan (decanting) ke premis sementara kerana klinik yang baharu akan dibina di tapak sedia ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×