[PARLIMEN] Kesuma bakal gubal undang-undang lindungi pekerja gig

[PARLIMEN] Kesuma bakal gubal undang-undang lindungi pekerja gig

STEVEN Sim pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma)  dalam proses menggubal  undang-undang perburuhan baharu bagi melindungi pekerja gig sebelum dibentang di Parlimen.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penggubalan tersebut akan mencakupi empat perkara penting iaitu definisi pekerja gig, gaji atau upah, mekanisme kiraan dan perlindungan sosial.

Menurut beliau, cadangan tersebut akan dikemukakan ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini.

Kata beliau, Kesuma berpandangan bahawa konsolidasi beberapa perundangan merentas bidang kuasa pelbagai kementerian adalah penting bagi memastikan perlindungan yang menyeluruh dan konsisten kepada pekerja gig, penyedia platform, pengguna dan ekosistem.

“Cadangan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menangani isu-isu utama yang dihadapi oleh pekerja-pekerja gig dan memastikan kebajikan mereka terjamin.

“Ini juga akan membantu dalam membangunkan sektor ekonomi gig yang lebih mampan dan berdaya saing, serta memberikan sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai implikasi terhadap undang-undang dan kewangan negara sekiranya cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) direalisasikan.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, penubuhan SEGiM lebih menyeluruh dan holistik ini akan membantu menangani pelbagai isu dan kelompongan dalam sektor ekonomi gig.

Jelasnya, Kesuma komited untuk bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat bagi memastikan kejayaan penubuhan SEGiM.

“Untuk penggubalan Akta yang berkaitan dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia, kerajaan melalui HLC kelak akan menilai implikasi kewangan yang terlibat.

“Penilaian terperinci mengenai kos penubuhan dan operasi akan dilakukan untuk memastikan semua aspek kewangan diambil kira dengan teliti dan menyeluruh,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN