KPM, DBP disaran kerjasama martabat kesantunan bahasa Melayu

Kementerian Pendidikan, DBP disaran kerjasama martabat kesantunan bahasa Melayu

Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran bekerjasama menganjurkan aktiviti berkaitan dalam mengangkat martabat bahasa Melayu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran bekerjasama menganjurkan aktiviti atau pertandingan termasuk sajak, pantun, deklamasi puisi dalam memartabatkan kesantunan berbahasa dan keindahan bahasa Melayu.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hassan berkata, kolaborasi tersebut dapat memartabatkan elemen kesantunan serta keindahan berbahasa dan mempamerkan watak bangsa Melayu yang tinggi budi bahasa dan hemah berbicara.

“Justeru usaha ini wajar disokong sepenuhnya dan penghayatannya perlu diterjemahkan bukan sahaja di media cetak tetapi juga media sosial.

“Ini kerana generasi netizen sekarang kurang menjaga adab, tutur bicara dalam platform media sosial yang menyebabkan timbul perbalahan, kutuk mengutuk, keji mengeji yang menghilangkan rasa hormat dan keharmonian dalan berkomunikasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengatakan berbahasa dalam perbualan seharian rakyat harus dipertingkatkan bagi memelihara dan menghormati keindahan bahasa Melayu.

Fadhlina berkata, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja dilihat dalam konteks memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan semata-mata, tetapi juga menjaga adab dan tatasusila dengan menuturkan kata-kata yang baik dalam setiap perbualan terutama di media sosial.

Tambah Mohd. Azizee, saranan Menteri Pendidikan tersebut perlu disambut baik oleh semua pihak bagi mengangkat nilai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan aspek kesantunan berbahasa juga perlu diutamakan dalam perbualan harian.

“Aspek kesantunan berbahasa perlu diberikan perhatian dalam perbualan harian demi memelihara dan menghormati adab, budaya di dalam berkomunikasi serta berinteraksi dengan penuh hikmah dan santun bahasa.

“⁠Ia wajar diperluaskan bukan sahaja di peringkat agensi-agensi kerajaan tetapi juga di sektor swasta,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon menyatakan keprihatinan terhadap kekasaran bahasa slanga dan bahasa remaja masa kini yang kehilangan aspek kesopanan dan tatasusila yang merupakan ciri penting dalam budaya Melayu.

“Hal ini menandakan kurangnya rasa hormat terhadap orang yang lebih tua dan pengaruh yang kuat dari budaya luar,” jelasnya.

Tambahnya, bahasa melambangkan bangsa dan bahasa Melayu tidak hanya hadir bersama dengan tatasusila dan kesopanannya, tetapi juga dalam setiap percakapan seharian yang diiringi dengan adab dan kesopanan yang selaras dengan prinsip rukun negara.

“Tatakelakuan juga amat diambil berat oleh budaya melayu seperti merendah diri, mohon maaf, menghormati orang lebih tua dan saya sangat bersetuju jika kesantunan dan keindahan bahasa Melayu dipelihara serta dipertingkatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN