Kembar tiga tetap mahu ke menara gading

Kembar tiga tetap mahu ke menara gading

(Dari kiri) Norain Nabiha, Norain Najiha dan Norain Nasuha bergambar dengan ibu bapa mereka selepas menerima sijil penghargaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Baling, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING : Pasangan kembar tiga yang merupakan antara pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Baling (SMB) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi meskipun terpaksa berpisah antara satu sama lain.

Kakak sulung kembar, Norain Nabiha, 18, yang mendapat 10A berkata, dia merasa amat gembira dan terharu dengan keputusan terbaik yang tidak dijangkakannya sama sekali, merupakan satu-satunya pelajar di sekolah berkenaan yang berjaya meraih keputusan tersebut.

“Alhamdulillah dan saya amat terharu, tidak menyangka sama sekali boleh dapat 10A untuk semua matapelajaran yang saya ambil, peperiksaan percubaan baharu ini tidak begitu memberangsangkan.”

“Saya ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara dalam bidang sains atau pun psikologi, namun saya berasa amat sedih kerana akan berpisah dengan adik-adik kerana keputusan kami tidak sama,” kata Norain Nabiha.

Kembar kedua, Norain Najiha yang mendapat 7A juga tidak menyangka boleh dapat keputusan yang agak cemerlang.

Dia hanya berharap mendapat keputusan yang lebih rendah daripada itu kerana tidak mampu mencapai keputusan yang baik, namun tidak menyangka dia juga mendapat keputusan sebaik itu.

“Dengan berkat doa ibu dan ayah, dan saya telah berusaha sedaya upaya dengan adik dan kakak, masa belajar kami bersama, kakak dan adik memang bertungkus lumus belajar tetapi saya agak lambat sikit disebabkan keadaan kesihatan yang kurang baik.”

“Namun saya tidak berputus asa untuk mengejar mereka supaya kami sama-sama berjaya, saya tumpang bangga mereka lebih berjaya daripada saya, rezeki lebih menyebelahi mereka dan saya tetap bersyukur dan terima seadanya keputusan ini,” kata Norain Najiha.

Norain Najiha juga ingin melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dalam bidang undang-undang dan berharap impiannya untuk menjadi peguam atau hakim akan tercapai.

Kembar ketiga, Norain Nasuha, yang mendapat 9A, pula berkata, selama ini mereka tidak pernah berenggang, makan, main, tidur, berjalan-jalan dan sebagainya sentiasa bersama, selepas ini mungkin mereka akan membawa haluan masing-masing.

“Sedih juga, selama 18 tahun kami begitu akrab, namun terpaksa berpisah demi mengejar cita-cita dan masa hadapan, dan berharap suatu hari nanti kami akan bersama kembali.” “Saya tidak menyangka dapat 9A, dan 1B+, saya juga buat rayuan semak semula Mathematik Tambahan dan berharap ia juga bertukar menjadi A, saya juga mohon belajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bidang sains dan teknologi dan ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN