PETALING JAYA: Seramai 25 ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menandatangani surat arahan khusus Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
Ini bermakna enam ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini didapati tidak berbuat demikian memandangkan keseluruhan sebenar anggota Dewan Rakyat Bersatu adalah seramai 31 orang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.
Bagaimanapun, Muhyiddin tidak menyebut tindakan susulan bakal dikenakan terhadap mana-mana wakil rakyat Bersatu yang dibuang parti.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, semalam 31 Mei adalah hari terakhir untuk wakil-wakil rakyat Bersatu menyempurnakan surat arahan khusus MPT parti.
Muhyiddin berkata, perkara itu selaras fasal 10.4 Perlembagaan parti yang menetapkan keahlian wakil rakyat terhenti jika melanggar arahan parti.
“Seramai 25 ahli Parlimen dan 58 ADUN telah menandatangani surat berkenaan dan menghantarnya kembali kepada Setiausaha Agung Bersatu dalam tempoh 14 hari.
“Arahan khusus ini dibuat selaras dengan pindaan Perlembagaan Bersatu telah diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini serta menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai anti lompat parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu dan seorang ADUN bertindak menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
Dua minggu lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keahlian semua wakil rakyat terbabit terlucut jika gagal menjawab surat yang dihantar pihaknya dalam tempoh 14 hari.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana semua wakil rakyat Bersatu yang kekal teguh menjunjung obor perjuangan suci parti ini telah berikrar untuk terus setia kepada parti demi membela agama, bangsa dan negara.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Jawatankuasa Khas Bersatu yang bertungkus-lumus menyempurnakan Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini secara tertib dan teliti, menepati segenap lunas undang-undang,” katanya. – UTUSAN










