JKM dapat perintah jagaan sementara adik kepada Zayn Rayyan

JKM dapat perintah jagaan sementara adik kepada Zayn Rayyan

ZAYN RAYYAN
ZAYN RAYYAN ABDUL MATIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  memperoleh perintah jagaan sementara terhadap  adik kepada Zayn Rayyan Abdul Matin yang  mati dibunuh, tahun lalu.

Perkara itu disahkan Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut beliau, JKM  memperoleh Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 25(2), Akta Kanak-kanak 2001 itu daripada Mahkamah Majistret sebentar tadi. 

“Kanak-kanak itu akan ditempatkan di institusi kebajikan untuk tempoh dua bulan  bergantung kepada penyediaan laporan siasatan Orang Yang Layak dan Sesuai,” katanya.

Semalam, difahamkan pihak JKM Selangor pergi ke rumah keluarga ibu bapa Zayn Rayyan di Puncak Bestari sebelum kanak-kanak lelaki itu dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan.

JKM Selangor dikatakan mengambil langkah tersebut kerana ibu bapa kanak-kanak berkenaan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menerusi Akta Kanak-Kanak 2001, ia membolehkan JKM mengambil hak jagaan sementara ke atas kanak-kanak itu.

Semalam, ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, pihaknya telah memohon perintah jagaan sementara terhadap kanak-kanak tersebut.

“Dalam tempoh (dua bulan) tersebut, kita akan menentukan siapa penjaga berkelayakan untuk menjaga kanak-kanak tersebut,” katanya.

Katanya, kanak-kanak lelaki itu telah dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan selepas JKM Selangor datang mengambilnya di Puncak Bestari.

Sementara itu, peguam kepada keluarga, Mahmud Jumaat memaklumkan, pihaknya membantah tindakan JKM yang memohon penjagaan kanak-kanak itu ketika prosiding di mahkamah.

“Kami telah membantah,” katanya dengan ringkas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN