Tiada kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Melaka tahun ini

Tiada kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Melaka tahun ini

KALSOM Noordin memakaikan selendang kepada A. Parvathy yang dinobatkan penerima Anugerah Inspirasi Ibu sempena Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri di Dewan Komuniti Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kes keganasan rumah tangga serta penderaan wanita di Melaka semakin berkurangan dengan tiada laporan diterima setakat tahun ini oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, pada tahun lalu pula, hanya lapan aduan diterima berkaitan perkara itu.

Menurutnya, kebanyakan kes berjaya dikendalikan menerusi sesi kaunseling serta intervensi awal tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

“Tahun lepas memang ada laporan diterima, namun setakat ini keadaan masih terkawal dan tiada kes besar atau mengejutkan berlaku di negeri ini kerana sesi kaunseling yang dijalankan oleh dua agensi terbabit,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri di Dewan Komuniti Bukit Beruang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Alor Gajah, A. Parvathy, 55, dinobatkan penerima Anugerah Inspirasi Ibu.

Kalsom berkata, peningkatan kesedaran dalam kalangan wanita untuk tampil mendapatkan bantuan dan kaunseling juga menjadi faktor membantu mengurangkan kes penderaan domestik.

Katanya, pelbagai program advokasi, penerangan dan kesedaran dilaksanakan oleh JKM, LPPKN serta agensi berkaitan memberi pemahaman lebih baik kepada masyarakat khususnya golongan wanita mengenai hak dan perlindungan diri.

“Kadang-kadang apabila ada laporan dibuat, itu menunjukkan masyarakat sudah semakin berani tampil mendapatkan bantuan dan tidak lagi memendam masalah sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN