Salah faham isu keganasan rumah tangga

Salah faham isu keganasan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEMUA orang yang berakal budi dan berfikiran cerdas bercita-cita untuk mendirikan rumah tangga yang bahagia. Tiada apa di dalamnya siling selisih. Suami seorang yang baik dan penyantun. Isteri seorang teman yang setiawan.

Akan tetapi adakah selalu berjumpa yang demikian di dunia ini? Kita jangan membohongi diri! Banyak rumah tangga pecah berantakan kerana kenyataan berbeza sama sekali dengan yang dicita-citakan. Entah laki-lakinya yang tidak pandai mengendalikan, entah isterinya yang derhaka tidak patuh diatur, atau entah kedua-duanya.” – Buya Hamka

Tiada sesiapa yang berkahwin dengan bersiap-siaga mengendalikan keganasan jika insiden berlaku dalam tempoh berumah tangga. Bahkan ada yang menganggap topik ini tabu seolah-olah menjadi petanda ketidakpercayaan kepada pasangan jika isu ini dibangkitkan sebelum perkahwinan berlangsung.

Kerana itu, ramai yang tidak cakna dan salah anggap tentang keganasan rumah tangga (KRT). Mereka sering menyifatkan keganasan hanya berlaku apabila terjadi insiden penderaan fizikal yang menyebabkan kecederaan semata-mata.

Sedangkan takrifan ‘keganasan rumah tangga’ menurut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] merangkumi sebarang tingkah laku dalam perhubungan kekeluargaan bagi mengawal atau mempengaruhi seseorang ahli keluarga. Takrifan ini meliputi apa-apa bentuk ancaman yang mendatangkan ketakutan kepada mangsa, selain penderaan secara fizikal, seksual, emosi, ekonomi atau psikologi dan tindakan mengurung ahli keluarga secara salah.

Selain itu, KRT selalunya dikaitkan kepada pasangan suami-isteri sahaja. Walhal, Akta 521 melihat kepada penindasan dalam unit kekeluargaan khususnya kepada pasangan, anak dan orang dewasa yang tidak berkeupayaan.

Maka, di bawah takrifan ini, seorang anak boleh dikatakan telah melakukan KRT terhadap ibunya yang uzur, jika si anak memaksa ibu memindah milik hartanah miliknya tanpa kerelaan.

INSIDEN keganasan rumah tangga akan memuncak ketika musim perayaan yang memerlukan perbelanjaan keluarga yang lebih daripada biasa..- GAMBAR HIASAN

Dalam bidang sosiologi, kajian sejak 1920-an telah mengenal pasti tekanan hidup sebagai penyumbang utama berlaku insiden KRT.

Bahkan, pada 1958, ahli sosiologi Rueben Hill telah memperkenalkan Model Tekanan Keluarga (Stress Family Model) yang mengetengahkan bahawa kekurangan sumber mewujudkan tekanan ke atas ketua keluarga, dan memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental mereka, dan seterusnya terhadap kesejahteraan keseluruhan ahli keluarga.

Berdasarkan model ini, tidak pelik bagaimana insiden KRT akan memuncak ketika musim perayaan yang memerlukan perbelanjaan keluarga yang lebih daripada biasa. Insiden sebegini tidak berlaku secara terpencil dan hakikatnya berkait rapat dengan tekanan hidup yang menindas masyarakat rentan ekonomi.

Dalam minggu ini sahaja, pelbagai contoh keganasan rumah tangga dilaporkan media dengan meluas. Antara berita yang wajar diberikan perhatian adalah:

• Seorang isteri cedera di Kuala Lumpur selepas ditampar, dicekik dan diacukan pisau oleh suaminya selepas meminta dibelikan ayam gepuk.

• Dalam kejadian di Melaka pula, seorang wanita yang sedang hamil telah dipukul, dilempang dan ditarik rambut, sebelum kepalanya dilanggar menggunakan sebuah motosikal oleh suaminya.

• Seorang anggota tentera dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap anak lelakinya.

• Seorang ibu tunggal didakwa telah mencederakan anak lelakinya berusia 11 tahun di Johor Bahru.

• Suami yang didakwa cuba membunuh isterinya dengan mengelar isteri beberapa kali telah diarahkan oleh mahkamah untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai.

Pada 2024, penyelidik bidang sosiologi dari Universiti Newcastle mendapati bahawa kebanyakan usaha untuk menangani KRT memfokuskan penglibatan mangsa dan jarang melibatkan perubahan tingkah laku pelaku.

Sebagai contoh, di kebanyakan negara termasuklah Malaysia, apabila penggarap dasar membincangkan cara menangani KRT, antara saranan utama adalah dengan memperbanyakkan pusat perlindungan mangsa (khususnya bagi wanita dan kanak-kanak).

Meskipun saranan ini membantu mangsa pulih selepas keganasan berlaku, namun cara sebegini gagal membendung apatah lagi membasmi KRT.

Saranan ahli psikologi memfokuskan kepada program perubahan tingkah laku dalam ahli keluarga yang mempunyai kecenderungan melakukan keganasan khususnya melibatkan mereka yang sedang mengalami tekanan hidup yang serius.

Beberapa model campur tangan telah disyorkan dan rata-rata model diadaptasi daripada model asal olahan Dr. Robert West, seorang ahli psikologi British.

Model COM-B untuk perubahan tingkah laku mengambil kira keupayaan (C), peluang (O), dan motivasi (M) sebagai tiga faktor utama yang mampu mengubah tingkah laku (B) seseorang individu.

Di sini sebarang reformasi perundangan hanyalah satu elemen dalam model ini, dengan mempengaruhi motivasi individu itu untuk berubah, yakni menyentuh proses kognitif sedar dan tidak sedar yang mengarahkan dan memberi inspirasi kepada perubahan.

Pemahaman kepada model perubahan tingkah laku dapat memberikan sudut pandang yang lebih kemas. Antara perubahan yang boleh dilakukan kerajaan kini adalah untuk mewajibkan kursus praperkahwinan kepada semua pasangan termasuklah bukan Islam.

Selain itu, silibus dalam kursus praperkahwinan perlu merangkumi penjagaan kesihatan mental dan cara-cara menangani tekanan hidup secara sihat.

Apa sekalipun model yang digunapakai kerajaan dalam menggubal undang-undang dan menggarap dasar berkenaan dengan kesejahteraan institusi keluarga, fokus utama adalah untuk melihat isu KRT dari perspektif yang lebih meluas.

Persiapan menangani penindasan tidak hanya harus dilihat dari sudut pengendalian insiden yang berlaku tetapi cara terbaik untuk mencegah. Jangan lagi kes-kes dera anak bini meningkat setiap kali kita menyambut perayaan. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×