Isu tanah: Orang Asli minta campur tangan MB Perak

Isu tanah: Orang Asli minta campur tangan MB Perak

SEKUMPULAN masyarakat Orang Asli Kampung Kenang berkumpul di hadapan pejabat kerajaan negeri Perak selepas menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak, di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekumpulan masyarakat Orang Asli penduduk Kampung Kenang, Sungai Siput dekat sini mendesak campur tangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkenaan status tanah pertanian yang diusahakan mereka.

Desakan dibuat selepas timbul kekeliruan tentang status pemilikan tanah yang diusahakan mereka di kampung tersebut sejak awal tahun 1970.

Wakil penduduk, Itam Dol Busu, 65, mendakwa, sejak tahun lalu penduduk kampung didatangi beberapa pihak luar yang menyatakan hasrat mahu mengusahakan tanah tersebut.

Jelasnya, keadaan itu mengelirukan penduduk kampung terutama lebih 35 keluarga masyarakat Orang Asli Suku Temiar yang terlibat dalam aktiviti pertanian sejak sekian lama.

“Oleh itu, kami minta Menteri Besar untuk datang ke tempat kami dan tengok keadaan. Harapan kami agar tanah ini kekal milik kami,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri di sini, hari ini.

Dia sebelum itu bersama beberapa penduduk kampung menerusi gerakan dinamakan  Jawatankuasa Bertindak Tanah Adat Orang Asli Kampung Kenang, menghantar memorandum ke Pejabat Menteri Besar Perak.

Itam Dol mendakwa, apa yang membuatkan penduduk kampung buntu, beberapa usaha pernah dilakukan untuk mendapatkan pengesahan tentang kedudukan status tanah, namun tiada jawapan yang memuaskan hati. 

Jelas Itam Dol, tanah pertanian terbabit berkeluasan lebih 100 ekar dan diusahakan oleh penduduk dengan pelbagai jenis tanaman sejak 1970-an dan terkini fokus kepada tanaman sawit dan getah.

Dia mendakwa lagi, ada khabar angin kononnya wang sagu hati dicadangkan kepada setiap pengusaha tanah berjumlah kira-kira RM10,000.

“Kalau ambil, berapa lama kita nak hidup (dengan duit tersebut). Sedangkan tanah yang diusahakan ini ada pendapatan bulanan walaupun tak banyak, misalnya dalam RM700 hingga RM800. Tapi boleh berpanjangan,” katanya.

Dia mengharapkan perkara itu dapat diselesaikan kerana risau dan tidak mahu masyarakat Orang Asli penduduk Kampung Kenang terpaksa keluar daripada kawasan tersebut.

Dalam memorandum itu, mereka memohon kerajaan negeri mengadakan rundingan bersama penduduk terlibat bagi menyatakan status milikan tanah berkenaan serta penyelesaian yang dapat memihak kepada penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN