PUTRAJAYA: Kerajaan sedia membincangkan isu tidak adil berkaitan penilaian hartanah yang dihadapi 100 pemilik kediaman flat dan teres di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau terbuka untuk membincangkan perkara itu namun, ada prosedur yang perlu dipatuhi.
Beliau berkata, semua pihak perlu faham bahawa penilaian dibuat berdasarkan nilai tanah di kawasan itu sebelum sebarang pampasan diberikan.
“Kita melihat nilai tanah tersebut sebelum pampasan diberikan, jadi itu memang caranya. Bagi penduduk yang rasa ini tidak mencukupi, saya rasa mereka boleh terus melihat semakan mahkamah bagi melihat dan menilai kembali perkara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan dokumen projek laluan susur di Presint 15, di sini hari ini.
Katanya, beliau sendiri telah berjumpa dengan persatuan penduduk di Kampung itu dua minggu lalu malah, penduduk juga menyatakan hasrat sama (penilaian semula hartanah).
Dr. Zaliha berkata, semua pihak juga perlu tahu bahawa beberapa prosedur penilaian hartanah telah dilakukan oleh badan penilai bagi mengetahui jumlah pampasan sebenar, malah kes itu juga telah dirujuk kepada mahkamah dan mahkamah membenarkan untuk meningkatkan pampasan antara 10 hingga 15 peratus.
“Ia satu keprihatinan daripada semua pihak untuk membantu mereka,” katanya.
Ditanya soal rumah gantian pula, D.r Zaliha berkata, penduduk boleh berunding dengan pihak yang terlibat dan kerajaan akan membantu memudahkan rundingan itu jika diperlukan.
Sebelum ini, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, kerajaan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kezaliman ke atas pemilik hartanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang terlibat bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.
Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan penilaian semula harga tanah dengan lebih adil berbanding RM450 hingga RM500 bagi setiap kaki persegi yang tawarkan kepada lebih 100 pemilik kediaman flat dan teres terlibat.
Pada November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru tidak lagi ditangguhkan selepas tertangguh selama enam tahun. –UTUSAN










