NIBONG TEBAL : Pas mengakui bahawa Perikatan Nasional (PN) akan bergantung kepada isu-isu nasional ketika berkempen dalam usaha untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, isu tersebut boleh menjadi ‘nilai tambah’ kepada keupayaan calon mereka iaitu Abidin Ismail pada PRK berkenaan.
“Insya-Allah, kita serahkan kepada pencapaian wakil rakyat kita iaitu Almarhum Nor Zamri (Latiff) yang telah meninggal dunia. Calon kita (Abidin Ismail) juga adalah pembantu kepada wakil rakyat itu…yang menjalankan tugas yakni sambung tugas beliau (Nor Zamri).
“Selain itu, ada isu-isu nasional yang boleh membantu kita (untuk menang), insya-Allah. (Isu) yang rakyat terasa betul dengan apa yang berlaku hari ini dan boleh memberi dukungan kepada kita (PN),” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi PRK tersebut di Dewan Serbaguna Jawi di sini, hari ini.
Pada PRK ini, Abidin Ismail yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal akan ditentang oleh calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin dalam pertembungan ‘satu lawan satu’.
Dalam pada itu, Abidin memberitahu, beliau optimis dengan peluang PN pada pilihan raya kali ini selepas menerima sokongan dan sambutan yang baik semasa turun padang untuk bertemu dengan pengundi sejak diumumkan sebagai calon, minggu lepas.

“Kita cuba untuk mendekati pengundi sebaik mungkin, tanya khabar dan sebagainya dan Alhamdulillah, saya pun dah pernah bersama dengan arwah Abang Zam (Nor Zamri) sebelum ini.
“Jadi, dalam hal ini, tak timbul sebarang masalah untuk kita bersama masyarakat,” kata beliau.
Mengikut perangkaan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 39,279 pengundi berdaftar termasuk 57 anggota polis layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK bagi kerusi DUN Sungai Bakap.-UTUSAN










