KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan agar hakim yang mendengar kes saman sivil berhubung pembelian barangan mewah berjumlah AS$346 juta (RM1.64 bilion) menggunakan wang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menarik diri.
Rosmah memfailkan permohonan tersebut semalam (25 Jun) di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma Tetuan Reza Rahim & Rajivan.
Menurut afidavit sokongan difailkan, Rosmah menyatakan Hakim Adlin Abdul Majid pernah menjadi peguam bela dan peguam cara serta pernah dilantik menjadi rakan kongsi di firma guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill (LHAG) antara Mac 2011 sehingga Mac 2021.
Beliau kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 April 2021.
Pada 2018, LHAG dilantik mewakili 1MDB dalam usaha mendapatkan semula aset-aset milik syarikat terbabit yang diselewengkan.
“Defendan pertama (Rosmah) terdapat `real danger of bias’ (risiko berat sebelah) sekiranya Hakim Adlin Abdul Majid mendengar kes ini memandangkan plaintif adalah anak guam firma guaman yang dahulunya beliau pernah bertugas,” kata afidavit tersebut.
Selain itu, berdasarkan Peraturan 6 Kod Etika Hakim 2009, mana-mana hakim perlu sentiasa bertindak dalam kelakuan yang mendukung integriti dan kesaksamaan badan kehakiman.
“Defendan pertama menyatakan bahawa kandungan peraturan tersebut akan terjejas sekiranya Hakim Adlin terus mendengar kes ini,”katanya.
Sehubungan itu, Rosmah memohon agar Hakim Adlin menarik diri dan kes dipindahkan ke hakim Mahkamah Tinggi yang lain.
Pada 9 Mei lalu, 1MDB dan anak-anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Rosmah antara lainnya menunjukkan wanita itu membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Anak-anak syarikat 1MDB yang terlibat dalam saman itu ialah SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (1MDB Global Investments Ltd) sebagai plaintif kedua hingga keenam.
Sebelum ini, Rosmah pernah disaman oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas yang bernilai RM67.5 juta.
Selain itu beberapa entiti pesisir luar turut disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga 11 antaranya ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Selain Rosmah, turut dinamakan dalam permohonan injunksi mareva itu ialah seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani atau turut dikenali dengan nama Natasha Mirpuri.
Antara barangan yang didakwa dibeli Rosmah menggunakan dana yang diseleweng ialah rantai leher bertatahkan berlian kuning (AS$1.77 juta), gelang tangan bertatahkan berlian termasuk berlian merah jambu (AS$1.2 juta) dan cincin bertatahkan berlian berbentuk rama-rama (AS$1.05 juta).
Selain itu ialah dua beg tangan jenama Hermes iaitu Hermes Rose Amethyste Croco Horse Shoe Special Order bernilai AS$130,000 dan Hermes White with Gray Croco Skin (RM2 juta). turut disenaraikan ialaj jam tangan Cecil Purnell Ti bernilai RM1 juta.- UTUSAN










