ARAU: Kisah Muhammad Irfan Azhar, 18, yang hidup serba kekurangan mendapat keputusan cemerlang semua 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disiarkan Utusan Malaysia baru-baru in terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang mengunjungi rumah remaja tersebut.
Terbaharu, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) turun padang menziarahi Muhammad Irfan dan keluarganya di kediaman mereka di Kampung Kepala 10, Lomboh, Tambun Tulang di sini, semalam.
Lawatan yang diketuai Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli itu turut mempelawa Muhammad Irfan untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zaliman berkata, beliau bersama pihak pengurusan universiti terbabit meluangkan masa menziarahi keluarga tersebut disamping menyerahkan surat jemputan kepada remaja berkenaan untuk mengikuti pengajian di Unimap.
“Kita melihat kejayaan Muhammad Irfan ini adalah amat memberangsangkan memandangkan dia adalah pelajar dari sekolah harian biasa atau luar bandar namun masih mampu meraih keputusan cemerlang.
“Berikutan itu, saya bersama pihak pengurusan turun padang bagi mempelawa Irfan untuk melanjutkan pengajian di Unimap,” katanya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan namun bukan penghalang kepada Muhammad Irfan memperolehi keputusan cemerlang semua 9A dalam SPM.
Malah Muhammad Irfan juga sangat teruja meredah di dalam lumpur bersama ibunya bagi menunjukkan keputusan berkenaan melalui telefon pintar kepada ayahnya yang sedang melakukan kerja-kerja di sawah.
Selain mengambil upah melakukan kerja-kerja di bendang, bapa kepada Muhammad Irfan, Azhar Sabu, 49, itu juga bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan bulanan RM1,500.
Muhammad Irfan memperolehi A+ bagi subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan al-Quran dan Sunnah, (A) bagi mata pelajaran Sejarah, Matematik, Sains, Ekonomi serta Pendidikan Syariah Islamiah selain A- bagi subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Dalam pada itu, Zaliman berkata, kejayaan Muhammad Irfan itu juga sewajarnya menjadi pembakar semangat buat adik-adiknya dan pelajar lain untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan.
“Kita juga berharap pelawaan yang diberikan ini dapat membantu Muhammad Irfan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Irfan berkata, dia akan mempertimbangkan pelawaan Unimap tersebut dan berbincang terlebih dahulu bersama ahli keluarganya. – UTUSAN










