Institusi TVET khas e-sukan diwujudkan

Institusi TVET khas e-sukan diwujudkan

AHMAD Zahid Hamidi pada pertemuan khas peserta dan penganjur Mid Season Cup MLBB 2024 - Moonton Games Malaysia. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas untuk sukan elektronik (e-sukan) akan diwujudkan bagi melatih anak muda terlibat aktif dalam sukan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, institusi TVET itu akan diletakkan di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata, institusi TVET itu penting bagi melatih pemain e-sukan profesional negara supaya potensinya dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

“Malah, setakat ini saya difahamkan sudah ada 10 kandungan berimejkan Malaysia. Justeru, kerajaan seharusnya mendokong hasrat anak muda ini supaya kita dapat berada di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar pertemuan khas peserta dan penganjur Mid Season Cup MLBB 2024 – Moonton Games Malaysia di sini hari ini.

Katanya, e-sukan adalah industri yang bukan sahaja mampu menarik jutaan peminat di negara ini, malah di seluruh dunia di mana tontonan Grand Final MLBB Profesional League (MPL) mencecah 20 juta musim lalu.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan melihat potensi besar yang terdapat dalam industri e-sukan di negara ini yang boleh dikembangkan dengan mewujudkan program khas TVET.

“Bakat belia tempatan boleh digilap dalam menyokong ekosistem e-sukan meliputi kemahiran seperti kewartawanan, pengulas, produksi penyiaran, pengurusan pasukan dan kejurulatihan, serta penganjuran acara dan kerja teknikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN