SEPANG: Kadar sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kadar (KDNK) mencecah 7.5 peratus pada tahun lalu dan menghampiri 8.1 peratus seperti disasarkan pada 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar sumbangan industri halal itu terkandung dalam status pencapaian pelaksanaan Halal Industry Plan (HIMP) 2030 yang dibentangkan pada mesyuarat hari ini.
Menurutnya, sebanyak 9,162 buah syarikat yang mendapat sijil halal dengan nilai eksport produk halal direkodkan berjumlah RM53.7 bilion dengan jumlah syarikat pengeksport sebanyak 1,472 buah.
“Saya telah mengarahkan agar langkah bersepadu dilaksanakan bagi mempertingkat penyertaan syarikat ke dalam industri halal dengan mendapatkan pensijilan halal bagi memangkin daya eksport domestik dan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Bilangan 1/2024 di sini hari ini.
Katanya, mesyuarat hari ini turut memaklumkan bahawa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) akan dianjurkan di luar negara buat kali pertama dengan ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai sebagai destinasi pertama.
Ahmad Zahid berkata, ia akan dianjurkan pada 18 hingga 20 November ini dan menyasarkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM1 bilion.
Menurutnya, MIHAS 2023 merekodkan jumlah jualan sebanyak RM3.2 bilion melalui 1,890 reruai serta menerima jumlah 38,566 pelawat.
“Saya juga mengarahkan agar MATRADE memastikan supaya penganjuran MIHAS ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan semua agensi-agensi utama yang terlibat dalam agenda pembangunan industri halal negara,” katanya.
Terdahulu, pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan sijil halal kepada tujuh syarikat tempatan. – UTUSAN











