IHR : Malaysia, 194 negara WHO diberi 'cooling period' 10 bulan

IHR : Malaysia, 194 negara WHO diberi ‘cooling period’ 10 bulan

DZULKEFLY Ahmad (dua dari kiri) ketika merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Malaysia berserta 194 negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah menandatangani Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) awal Jun lalu kini diberikan tempoh ‘cooling period’ selama 10 bulan untuk meneliti draf IHR itu di negara masing-masing.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, draf IHR yang telah ditandatangani itu bukan sesuatu yang dimuktamadkan memandangkan negara anggota masih diberikan masa untuk menyatakan pandangan masing-masing berhubung IHR.

“Pada 1 Jun iaitu pada hari akhir Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 (di Geneva), boleh saya rumuskan bahawa semua negara anggota telah menandatangani IHR, namun ia bukanlah sesuatu yang sifatnya muktamad atau tuntas.

“Maka, semua negara anggota telah diberikan satu ‘cooling period’ selama 10 bulan untuk kembali menyatakan apa-apa pandangan yang kemudiannya diteliti di negara masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut kerajaan supaya turut membantah Pandemik Triti Pertubuhan Kesihatan Sedunia Perjanjian Konvensyen (WHO CA+) dan pindaan Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) kerana dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Malaysia berpegang kepada prinsip kesaksamaan dan solidariti untuk dilaksanakan dalam semakan Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) serta perjanjian pandemik.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, beberapa siri perjumpaan dengan negara anggota yang menjadi ahli WHO juga akan diadakan selepas ini.

“Dalam kata lain, apa yang ditandatangani baru-baru ini bukan bersifat final, dan ia akan kembali dibincangkan dalam beberapa siri perjumpaan di peringkat seluruh negara anggota,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan iaitu ketika diminta mengulas mengenai cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50), beliau berkata, draf cadangan pindaan akta tersebut kini telah disiapkan dan ia sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara.

Katanya, sesi libat urus juga akan diadakan dengan pihak berkepentingan, termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Draf (pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50), ini telah pun siap dan telah dikemukakan untuk semakan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya berharap sebelum itu kita akan adakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan. Apabila semua itu selesai, barulah kita akan bentangkan kepada Kabinet,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN