Ibu bapa dituduh abai Zayn Rayyan

Ibu bapa dituduh abai Zayn Rayyan

ISMANIRA Abdul Manaf (kiri) dan Zaim Ikhwan Zahari mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersama-sama mengabaikan Zayn Rayyan Abdul Matiin dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak autisme itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari (tertuduh pertama) dan Ismanira Abdul Manaf (tertuduh kedua) meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kece­deraan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Anis Hakimah Ibrahim.

Bapa Zayn Rayyan diwakili peguam-peguam Fahmi Abd. Moin dan Ilyani Khuszairy manakala Mahmud Jumaat, Bani Prakash, Hazwan Ayob, Izhar Azmi dan Yusri Yusoff mewakili Ismanira.

Syahliza membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan hingga kes selesai.

“Tertuduh-tertuduh dan wakil mereka juga dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai,’’ demikian perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Terdahulu, Ku Hayati memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat-syarat tambahan tersebut termasuk pasport di­serahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Hujah pendakwaan, kesalahan yang didakwa itu serius dengan mengambil kira mang­sa diabaikan yang membawa kepada kematiannya.

Terdahulu, pasukan pem­belaan berhujah jaminan itu terlalu tinggi dan memohon jaminan RM5,000 diberikan terhadap kedua-duanya.

Fahmi menghujahkan, Zaim Ikhwan yang merupakan pe­nanggung tunggal keluarga mempunyai pendapatan tidak tetap.

Mahmud pula berkata, Ismanira kini tidak bekerja dan perlu mendapatkan rawatan untuk anak kedua mereka yang mengalami masalah pertutu­ran dan autisme yang teruk.

“Kedua-dua anak guam tidak berisiko melarikan diri kerana sudah memberikan kerjasama yang baik ketika siasatan dijalankan,’’ ujar peguam-peguam berkenaan.

Mahkamah menetapkan kes disebut pada 26 Julai ini untuk serahan dokumen.

Dalam pada itu, mahkamah mengeluarkan perintah lara­ngan bersuara terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pendakwaan kes pengabaian kanak-kanak autisme itu sehingga perbicaraan kes selesai.

Syahliza berkata, perintah itu berkuat kuasa semalam dan hanya ditujukan secara spesifik kepada pihak-pihak dalam kes berkenaan, bukan kepada orang awam.

Terdahulu, peguam Fahmi memohon semua pihak termasuk orang awam dilarang mengeluarkan sebarang ke­nyataan berkaitan kes ber­kenaan kerana ia boleh me­nimbulkan subjudis kepada perbicaraan kes kelak.

“Kami percaya sebelum kedua-duanya dituduh pagi ini (semalam), banyak kenyataan panas dikeluarkan dalam media sosial dan memberi kesan kepada anak guam. Kami mohon perintah larangan bersuara dikenakan terhadap semua pihak,’’ ujar beliau.

Sementara itu, Ku Hayati memohon agar tertuduh-tertuduh juga tidak mengeluarkan kenyataan atau membuat sebarang hantaran berkaitan kes berkenaan.

Beliau berkata, perintah yang dimohon terlalu umum dan hanya menyekat kebebasan bersuara masyarakat walhal larangan bersuara se­patutnya perlu disasarkan kepada kumpulan khusus.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada di bawah bidang kuasanya dalam siasatan kes Zayn Rayyan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setiap butiran terperinci dari sekecil-kecil fakta, keterangan dan bukti dianggap penting dalam menyelesaikan kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN