Hasil durian mungkin kurang akibat kera, beruk

Hasil durian mungkin kurang akibat kera, beruk

IBRAHIM Mat Nyan menunjukkan buah durian hampir masak digugurkan oleh kera dan beruk liar di Kampung Gajah, Pasir Salak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Hasil durian di Kampung Gajah di sini pada musim ini mungkin berkurangan akibat gangguan kera dan beruk liar.

Masalah itu dialami kebanyakan pemilik dusun apabila kumpulan kera dan beruk dianggarkan lebih 50 ekor sering merosakkan putik dan buah durian yang masih muda.

Ibrahim Mat Nyan, 51, berkata, kawanan kera dan beruk  liar datang  kawasan hutan berdekatan dan memenuhi dahan pokok dan memetik tangkai buah durian yang belum matang dan yang baru berputik.

Menurutnya, malah ada buah yang hampir masak gugur bersepah di atas  tanah akibat haiwan liar tersebut.

“Saya mempunyai tiga ekar tanaman durian dan banyak buah dan putiknya sudah digugurkan oleh kera dan beruk. Buah yang hampir masak juga digugurkan oleh haiwan liar itu. Ada buah yang berlubang, buah yang masih tinggal semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Hitam di sini.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk menghalau haiwan liar itu termasuk meletupkan mercun  tetapi tidak berkesan.

“Haiwan ini seakan-akan tidak takut pada manusia malah akan datang semula dengan kumpulan yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Salak, Nor Azri Soko berharap pihak berwajib membantu pemilik dusun mengatasi ancaman haiwan liar itu yang semakin menjadi-jadi.

“Kalau masalah ini dapat diatasi, sekurang-kurangnya masih ada buah yang tinggal di pokok sempat untuk masak dan luruh dijangka dua ata tiga bulan lagi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN