Hanya 11 peratus taman Industri halal dibangunkan

Hanya 11 peratus taman Industri halal dibangunkan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan tahap guna pakai dan pembangunan di 14 buah Taman Industri Halal HALMAS (Halal Park) di seluruh negara.

Ini kerana, hanya 11 peratus daripada keseluruhan 5,484 hektar (13,553 ekar) di Halal Park itu dibangunkan setakat ini biarpun ia sudah dilancarkan sejak 2009 lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah itu masih rendah dan ia perlu ditangani segera antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebuah pasukan petugas diwujudkan semalam bagi mengenal pasti kekangan dihadapi oleh setiap kerajaan negeri.

“Pasukan petugas itu akan mengadakan mesyuarat pertama dua minggu lagi bagi mencari jalan penyelesaian serta mengatasi kekangan yang ada.

“Kerajaan negeri komited menyediakan industri halal di taman halal itu tetapi mungkin terdapat beberapa kekangan termasuk insentif yang tidak mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Industri Halal Bil 1/2024 di sini, semalam.

Katanya, beliau turut mengarahkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) supaya menyelaras isu berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, antara kekangan lain termasuk lah keadaan insfrastruktur yang masih terkebelakang.

Ditanya juga adakah ada tempoh masa diberikan bagi memanfaatkan sepenuhnya taman itu, Ahmad Zahid menegaskan, tiada tempoh masa ditetapkan kerana setiap negeri berdepan masalah yang tidak sama.

“Saya tidak kenakan tempoh masa kerana kita ada negeri yang kaya dan negeri yang miskin. Saya akan menyelaras isu ini agar kita tidak mahu taman itu hanya indah khabar daripada rupa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga mahu pemain industri halal tempatan supaya tidak hanya fokus kepada produk makanan dan minuman (F&B) sahaja sebaliknya mempelbagaikannya kepada sektor lain.

Menurutnya, ketika ini, 81 peratus daripada rangkaian produk halal negara tertumpu kepada F&B, malah fokus pasaran pula tertumpu hanya dalam pasaran tempatan.

“Saya selalu sebut pasaran halal seluruh dunia bernilai AS$3 trilion ketika ini dan dijangka mencecah AS$5 trilion pada 2030, malah peluang kita terbuka sangat luas.

“Kita memang mahu kuasai pasaran antarabangsa tapi jangan hanya berakhir sebagai jaguh kampung. Kita hormati produk-produk sambal cili dan kicap tapi ini untuk pasaran tempatan sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN