JEMPOL: Hajat seorang guru untuk menunaikan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha punah apabila menjadi mangsa penipuan pembelian lembu melalui media sosial.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa iaitu seorang wanita berusia 39 tahun telah berhubung dengan individu mengakui sebagai penjual lembu melalui WhatsApp pada 12 Jun lalu.
Menurut beliau, mangsa mengetahui mengenai penjual berkenaan melalui carian di laman sosial dan kemudian diminta untuk membuat transaksi untuk proses pembelian tersebut.
“Pada 16 Jun, mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian sebanyak RM2,900 ke dalam akaun bank penama lelaki.
“Setelah membuat pembayaran, penjual berjanji akan menghantar lembu tersebut di masjid dan apabila tiba hari dijanjikan lembu tersebut tidak sampai-sampai,” katanya.
Kata Chang Hook, mangsa yang merasakan dirinya tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Rompin petang semalam untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.- UTUSAN









