PERANAN seorang guru bukan sahaja umpama lilin yang membakar diri demi orang lain khususnya kepada warga muridnya tetapi juga masyarakat termasuk menjadi bilal.
Seorang guru pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yuan di Kampar, Perak, Muhammad Anas Mohamed Salleh, 32, bukan sahaja menggalas tugas sebagai seorang pendidik tetapi bilal masjid.
“Saya bertugas sebagai bilal di Masjid An-Nur, Kampar sejak April 2018 atas lantikan pihak masjid. Saya bertugas pada waktu solat Subuh, Maghrib dan Isyak setiap hari selang seminggu.
“Saya bersyukur kerana dibantu oleh tiga bilal lain selain pernah diberikan tawaran menjadi imam serta menjadi khatib membaca khutbah solat Jumaat,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.
Beliau memberitahu, pada mulanya agak khuatir tidak dapat membahagikan masa dengan baik selain terpaksa menggalas tugas yang berat sebagai seorang bilal masjid.
“Memang pada mulanya saya agak gementar kerana tidak mempunyai pengalaman menjadi imam, bilal dan khatib membaca khutbah semasa solat Jumaat tetapi jika kita tidak mencabar diri bila lagi.
“Jika tidak saya mungkin seorang guru yang menjalani rutin sama iaitu bekerja dan pulang ke rumah apabila tugasan hakiki selesai,” katanya.
Pendidik ini berkata, berkat pertolongan dan tunjuk ajar pengurusan masjid terutamanya pengerusi dan imam memberikannya kekuatan untuk melakukan yang terbaik.
“Saya orang muda dan masih banyak yang perlu belajar tetapi berkat pertolongan pengerusi dan imam masjid selain kariah masjid yang bersifat membantu akhirnya tugasan berat ini dapat dipikul dengan baik setakat ini.

“Sebagai bilal, kita juga perlu memastikan sentiasa bekerjasama dengan imam dan sentiasa memperbaiki bacaan al-Quran supaya imej masjid sentiasa terjaga,” katanya.
Berkenaan peluang menjadi imam dan khatib khutbah solat Jumaat, lelaki ini berkata, itu merupakan detik indah yang tidak dapat dilupakannya.
“Sebenarnya saya tidak menyangka akan terpilih sebanyak dua kali menyampaikan khutbah solat Jumaat iaitu sempena sambutan Hari Guru dan Belia yang diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Kedua-dua kalinya saya tidak dapat tidur malam kerana berulang kali membuat persediaan mujur saya dapat lakukan yang terbaik.

Syukur kedua-dua amanah itu dapat dilakukan dengan terbaik dan bukan berkisar mengenai elaun dan bayaran semata-mata tetapi khidmat saya pada masyarakat serta inilah bekalan pada Hari Akhirat nanti,” katanya.
Tambah beliau, tiada resipi atau petua untuk menjadi khatib, imam dan bilal yang baik cuma yang penting sentiasa belajar untuk menambah ilmu agama khususnya al-Quran.
“Saya mementingkan ini ialah amanah yang perlu dipikul dengan sebaiknya lagi-lagi berkaitan agama justeru itu saya tidak merokok dan memakai pakaian yang tidak menutup aurat.
“Percakapan dan tutur kata perlu dijaga kerana menjaga imej sebagai seorang khatib, imam dan bilal yang sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat terutamanya umat Islam,” katanya.
Berkenaan tugas sebagai seorang guru, Muhammad Anas berkata tiada masalah setakat ini kerana profesion itu yang dicita-citakan sejak kecil lagi.
“Saya gembira apabila anak-anak (murid-murid) berjaya dalam kehidupan mereka kerana itulah ganjaran terbaik yang diterima.
“Pendapatan mencukupi selama ini dan realitinya cukup sekadar yang ada dan tidak meminta dengan orang lain.
“Lagipun keluarga saya dan mertua menetap sekitar Kampar jadi apa laghi yang saya mahu kerana segala nikmat telah ada iaitu keluarga, kerjaya dan sudut kewangan yang baik,” ujarnya.
Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan program yang dianjurkan oleh masjid.
“Masjid ini aktif dengan pelbagai program seperti sambutan perayaan dan hari tertentu jadi kadang-kadang tidak menang tangan juga.
“Namun, jika dibuat seorang atau dua orang memang penat tetapi secara beramai-ramai keberkatan itu ada dan keseronokan hidup bermasyarakat,” katanya.
Ironi, Muhammad Anas merupakan antara 70 belia yang diberi perkenan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membacakan khutbah Jumaat sempena Hari Belia Negara pada 17 Mei lalu di masjid itu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei.
Pada tahun lalu, beliau turut diberikan peluang untuk menyampaikan khutbah Jumaat sempena Hari Guru di masjid yang sama.
Selain itu, beliau juga aktif dalam kegiatan sukan seperti sepak takraw sebagai hobi yang menyihatkan badan.
Laupa Junuslaupa.junus









