PETALING JAYA: Malaysia dan Russia memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan eksport minyak sawit oleh Kuala Lumpur kepada Moscow serta mempercepatkan pembukaan laluan penerbangan terus antara kedua-dua negara.
Perkara itu dicapai dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Russia, Vladimir Putin yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India semalam.
Menurut Anwar, kedua-dua negara bersetuju mewujudkan satu mekanisme khas bagi mempercepatkan pelaksanaan semua perjanjian yang dicapai antara Malaysia dan Russia.
“Saya membangkitkan keperluan untuk mempercepat usaha merealisasikan penerbangan terus antara Malaysia dan Russia serta kemudahan perjalanan tanpa visa seperti yang telah dipersetujui sebelum ini bagi merancakkan pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Bicara kami turut menyentuh soal peningkatan kemasukan minyak sawit Malaysia ke pasaran Russia di samping meneroka usaha untuk menggandakan nilai perdagangan Malaysia dan Russia.
“Yang lebih utama, setiap persetujuan yang dicapai mesti segera diterjemahkan kepada pelaksanaan,” katanya semalam.
Dalam perbincangan selama 20 minit itu, Anwar mengulangi penghargaan beliau terhadap sokongan Russia bagi kerjasama tenaga dengan Malaysia.
Sebelum ini, Petronas telah mengadakan libat urus dengan rakan sejawat dari Russia, Rosneft serta syarikat lain untuk memajukan kerjasama dalam sektor tersebut.
Dalam pada itu, Putin menyifatkan pertumbuhan sebanyak 12.9 peratus dalam nilai dagangan antara Russia dan Malaysia pada tahun lepas sebagai kadar yang kukuh.
Putin menegaskan bahawa Moscow amat mementingkan hubungan dengan Kuala Lumpur dalam bidang pendidikan, sains, teknologi, dan pelancongan.
“Dalam perbualan hari ini, kami berpeluang membincangkan isu-isu keutamaan mengenai kerjasama kita dalam semua bidang ini,” katanya.
Pada 2024, jumlah perdagangan ASEAN-Russia mencecah AS$18.1 bilion, manakala pelaburan langsung asing Russia di ASEAN berjumlah RM367.90 juta (AS$92.97 juta).
Bagi Malaysia, Russia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar dalam kalangan negara Eropah pada 2025, dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.72 bilion (AS$2.04 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Russia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan komponen, serta makanan diproses, manakala import utama terdiri daripada produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia terus mengekalkan hubungan perdagangan serta diplomatik dengan Iran di sebalik keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan dari negara yang menjalankan urusan perniagaan dengan Teheran.
Perdana Menteri menyatakan perkara itu dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Beliau berkata, hubungan Malaysia dengan Iran kekal utuh dan terus berlandaskan kepentingan nasional dan penghormatan terhadap kedaulatan negara lain.
Katanya, Malaysia akan menggunakan kebijaksanaan dalam menguruskan hubungan antarabangsa bagi memastikan negara tidak kelihatan lemah atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
Anwar kini dalam lawatan kerja untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.-UTUSAN










