Jangan cabar UMNO

Jangan cabar UMNO

AHMAD Zahid Hamidi ketika penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kestabilan Kerajaan Perpaduan mula tergugat apabila UMNO secara jelas mencabar kedudukan dan hala tuju kerjasama politik yang dibentuk bersama parti-parti lain dalam kerajaan.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan mampu dipertahankan, khususnya apabila UMNO mula menyuarakan pendirian yang dilihat tidak selari dengan rakan gabungan.

Namun, UMNO menegaskan kerjasama bukan penyerahan, malah tidak sesekali menggadaikan identiti politik meskipun bersama dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya ada dua cara bagi menyelesaikan masalah tersebut iaitu mendapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan Pilihan Raya Umum atau mengeluarkan UMNO secara rasmi dari kerajaan dan membuat undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Ada beranikah? Kalau berani buatlah cepat. Kalau berani bubarlah cepat.

“Ingatlah kerjasama kita bentuk atas amanah kenegaraan, patuh kepada Yang di-Pertuan Agong. Niat kita apa? UMNO ingin wujudkan kestabilan demi ke­seluruhan rakyat Malaysia kerana kerjasama tidak bermakna menye­rahkan masa depan parti.

“Ingat, kerjasama bukan penyerahan,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO  2026.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama politik dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah berasaskan amanah kepada negara dan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong, selain bertujuan mewujudkan kestabilan demi kepentingan rakyat.

Katanya, kerjasama politik tidak bermaksud sesebuah parti perlu menyerahkan identiti atau prinsip perjuangannya.

“Kerjasama bukan bermakna menyerahkan parti. Kita boleh bekerjasama tanpa hilang identiti, berunding tanpa abaikan prinsip. Ini bukan se­nang-senang, habis madu sepah dibuang,” katanya.

Beliau turut memberi ba­yangan bahawa UMNO mempunyai lebih daripada satu pilihan dalam menentukan hala tuju politik parti itu.

Ahmad Zahid menegaskan, parti itu mempunyai kebebasan politik untuk menentukan hala tuju sendiri tanpa perlu mene­rima ajaran atau campur tangan daripada mana-mana pihak.

Katanya, UMNO tidak pernah mencampuri atau mengajar parti politik lain, sebaliknya hanya mahu memperkukuh parti itu sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Perhimpunan kita bukan sahaja diikuti ahli UMNO, malah orang luar juga berminat untuk mengetahui apa yang berlaku dalam parti ini.

“Sebab itu, sebenci mana pun mereka terhadap UMNO, mereka tetap mahu tahu apa yang berlaku dalam parti,” katanya.

Mengulas pihak yang me­nyarankan UMNO supaya belajar daripada ‘guru’ tertentu, beliau berkata, parti itu mempunyai pengalaman dan ke­pimpinan sendiri untuk menentukan arah perjuangannya.

“Kita memang minat filem Tamil, tetapi kita tidak ikut semuanya. Kita ada guru besar sendiri yang mengajar kita.

“Sebelum sesiapa mahu mengajar kita, mereka perlu melihat dahulu siapa guru yang kita ada,” katanya.

Sebagai permulaan, beliau berkata, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh diberi mandat untuk menggerakkan Perhimpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran sejuta umat Islam.

“Kerjasama elok-elok dengan mereka, gerakkan roadshow dari negeri ke negeri sebelum kemuncak perhimpunan besar-besaran di peringkat pusat.

“Saya minta seluruh jentera dengan dokongan bahagian Wanita dan Puteri agar memberi sokongan penuh di peringkat negeri dan juga me­lakukan tafahum siyasi dengan me­ngadakan gerakan secara tersusun,” katanya.

 Selain itu, Ahmad Zahid turut berkata, beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan­nya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menguji kesetiaan dan keikhlasan Pas be­kerjasama dengan UMNO.

 “Kita uji kesetiaan dan kejujuran mereka, kita test mula-mula (mengadakan Pilihan Raya Negeri) di Terengganu, Kelantan serta Kedah.

 “Semoga kerjasama ini atau kefahaman ini dapat kita sama-sama bina atas asas saling menghormati, tidak khianat dan melaksanakan kejujuran demi kepentingan bangsa Melayu.

 “Semoga perpaduan ini juga tidak semestinya bermakna kita menjadi sama tetapi cuba matang mencari titik yang menyatukan kita dalam pilihan raya akan datang termasuk PRU-16,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×