KUALA NERUS: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang mengkaji keperluan untuk menggubal undang-undang bagi mengatasi masalah pencemaran plastik secara lebih lestari.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan tersebut perlu diambil berikutan
pencemaran plastik termasuk di perairan negara ini semakin berleluasa dan membimbangkan.
Malah, menurutnya, kajian di peringkat antarabangsa mendapati berat sisa plastik di lautan akan mengatasi berat ikan menjelang 2050 dan kerajaan memandang serius masalah tersebut.
“Nak tengok adakah kita boleh ada satu perundangan peringkat nasional untuk kita kurangkan sisa plastik ataupun sifar plastik sekali guna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Kelestarian Alam
Santuni Golongan Belia di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.
Pada program tersebut seramai 150 pelajar UMT menyertai sesi pembersihan pantai dan forum Kelestarian Alam bertajuk ‘Memperkasakan Generasi Pemangkin Kelestarian’.
Nik Nazmi memberitahu, bahan plastik yang dibuang secara tidak terurus, bukan hanya mengotori pemandangan dan mencemari persekitaran pantai tetapi memberi ancaman kepada hidupan laut.
Menurutnya, pihaknya turut mengesan tindakan kontraktor kerja pembersihan
tidak membuang sampah di tempat yang ditetapkan sebaliknya dibuang secara haram termasuk di tepi sungai untuk menjimat kos operasi.
“Sebahagian sampah tersebut kemudian didapati masuk ke dalam sungai sebelum hanyut ke lautan,” ujarnya. – UTUSAN










