Pulau Pinang guna plastik mesra alam ganti plastik sekali guna

Pulau Pinang guna plastik mesra alam ganti plastik sekali guna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penggunaan plastik sekali guna akan diganti dengan bahan alternatif menyerupai plastik diperbuat daripada material biodegradasi sebagai usaha melaksanakan larangan penuh penggunaan plastik sekali guna menjelang 1 September ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, bahan pengganti dicadangkan perlu memiliki ciri yang hampir sama dengan plastik konvensional bagi memastikan penggunaannya praktikal dalam kehidupan harian.

“Kita akan mencari alternatif kelihatan seperti plastik, terasa seperti plastik dan digunakan seperti plastik, tetapi sebenarnya bukan plastik kerana ia diperbuat daripada bahan biodegradasi,” katanya selepas merasmikan Forum Industri Hijau Pulau Pinang 2026 yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama menguatkuasakan sepenuhnya larangan terhadap penggunaan beg plastik termasuk beg plastik sekali guna bermula 1 September ini.

Kon Yeow berkata, produk seumpama itu sudah pun tersedia di pasaran dan kini pihak kerajaan negeri sedang mengadakan rundingan dengan pemain industri berkaitan.

Katanya, perbincangan turut melibatkan persatuan industri pembuatan plastik bagi memastikan peralihan kepada bahan baharu dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Kerajaan negeri menyasarkan penggunaan bahan alternatif itu dapat dilaksanakan seawal 31 Ogos ini, bergantung kepada kesiapsiagaan bekalan dan industri,” katanya.

Pelaksanaan dasar itu, dijangka tidak akan menjejaskan operasi perniagaan terutama golongan penjaja dan peniaga kecil.

Kon Yeow berkata, pihaknya tidak mahu langkah tersebut mengganggu operasi perniagaan dan akan memastikan bahawa bahan pengganti tersebut mencukupi sebelum pelaksanaan sepenuhnya dibuat.

Sementara itu, Sundarajoo berkata, harga bahan alternatif berkenaan mungkin sedikit lebih tinggi pada peringkat awal, bagaimanapun kos berkenaan distabilkan dalam jangka masa panjang apabila pengeluaran dan penggunaan meningkat.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan untuk menyeimbangkan keperluan industri dan tanggungjawab menjaga alam sekitar. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×