Finas cari jalan bantu Dharma

Finas cari jalan bantu Dharma

Dharma Harun Al-Rashid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan mengadakan perbincangan bersama stesen televisyen TVAlhijrah bagi mencari jalan terbaik membantu pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya akan menyemak semula mekanisme agar program yang dibiayai Finas dapat dibeli oleh syarikat penyiaran.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan stesen televisyen AlHijrah serta syarikat penyiaran lain untuk melihat bagaimana program yang dibiayai oleh Finas, mereka boleh beli menerusi hak cipta penyiaran.

“Memang sebelum ini Dharma sudah menerima dana daripada Finas untuk hasil produksinya disiarkan di mana-mana platform televisyen.

“Tapi saya sudah te­ngok kontrak Dharma dengan TVAlhijrah, memang tidak menyatakan pihak stesen itu membeli hasil produksi tersebut. Kontrak itu hanya menyatakan kebenaran untuk siaran.

“Kami sudah memaklumkan pada Dharma mengenai hal tersebut. Saya rasa ketika dana diberi dahulu pada 2021, mungkin pengurusannya lain,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Festival Budaya Filem China-Malaysia di Dadi Cinema, Pavilion, baru-baru ini.

Beliau mengulas isu kegagalan Dharma menjual hak cipta program Deko Ibadah kepada TVAlhijrah, menyebabkan dia dan keluarga hidup dalam kesempitan.

Bagaimanapun, Azmin mencadangkan pelakon Adik Manja itu memohon Dana Kandungan Kreatif untuk meneruskan kehidupan.

“Apa yang kami boleh bantu adalah mencadangkan Dharma memohon dana yang baharu. Ia akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Sebelum ini memang Finas sudah memberi dari segi kewangan dan saya pun sudah berbincang dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Selangor (Perkeso) mencari cara untuk bantu memandangkan Perkeso ada program kerjasama dengan agensi lain.

“Jadi insya-Allah kami sedaya upaya tolong Dharma,” katanya.

Terdahulu, Dharma men­dakwa syarikat penyiaran TVAlhijrah enggan memberikan kerjasama walaupun menandatangani kontrak membeli hak cipta rancangan Deko Ibadah bernilai RM312,000.

Susulan itu, Dharma me­ngakui mengalami kesempitan wang sehingga dihalau keluar rumah kerana gagal membayar tunggakan sewa bernilai RM7,500.

Bagaimanapun, stesen TVAlhijrah menafikan pernah mengeluarkan atau menandatangani sebarang kontrak perjanjian pembelian hak cipta kandungan daripada produksi WWS Studios yang juga milik  Dharma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×