Felda, FGV perlu manfaat kelebihan penggerak utama bisnes

Felda, FGV perlu manfaat kelebihan penggerak utama bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak lagi boleh dianggap sebagai organisasi tradisional dan perlu mengadaptasi kepada kelebihan penggerak utama (first mover advantage).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kebanyakan negara kini memasuki era ekonomi hijau yang menjadi kerangka baharu dalam menuju ekonomi yang lebih mampan bagi mencapai objektif Pelepasan Sifar Bersih 2050.

“Semua aktiviti ekonomi dan pendasaran setiap negara menuju ke arah itu. Sekiranya kita melakukan sesuatu lebih awal kita akan mendapatkan kelebihan. Sebagai contoh, apabila ia dilaksanakan, sesebuah negara akan menjadi lebih kompetitif bukan sahaja dari segi infrastruktur malah kemudahan untuk melakukan pelbagai bentuk bisnes.

“Kompetitif juga dapat dilihat apabila menjadi sebuah negara yang memudahkan segala bentuk ekonomi yang dianggap ekonomi hijau. Misalnya pelabur ingin datang ke sesebuah negara dan negara tersebut masih menggunakan tenaga diesel dan arang batu, maka pelabur tidak akan datang kerana dianggap negara itu kurang kelebihan.

“Sekiranya Felda menjadi satu organisasi bersama Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), kami mempunyai keluasan tanah yang besar namun ia perlu dilihat dari perspektif bukan hanya perladangan tetapi menjadi penghasil besar kepada tenaga yang boleh diperbaharui seperti penggunaan tenaga solar dan biojisim.,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pelan Hala Tuju Ekonomi Lestari Felda, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, sekiranya kerjasama antara Felda dan FGV dapat dilaksanakan, Malaysia boleh dianggap sebagai ‘first mover advantage’.

“Jika ia disusun bersama dasar yang membolehkan kita melaksanakannya, bukan sahaja dengan efisien malah mendapat pulangan ekonomi yang lebih baik, maka kita dianggap melakukan kerja ‘first mover advantage’.

“Sebagai contoh lain, sekiranya Felda cepat mengadaptasi penggunaan jentera yang selama ini berasaskan diesel tetapi ditukarkan kepada jentera elektronik, dan elektrik itu dijana melalui kilang-kilang kita yang menggunakan bahan bakar yang kita hasilkan sendiri. Secara tidak langsung ini juga boleh menjadikan kita sebagai ‘first mover advantage’,” katanya.

Selain itu, katanya, Felda kini berada fasa baharu yang digelar sebagai kitaran ekonomi dengan menggunakan bahan buangan.

“Dahulu, kita melihat ekonomi hijau kita lebih kepada menghasilkan produk ladang yang dianggap mampan mengikut peraturan Meja Bulat Kelestarian Minyak Sawit (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Kita tiada penghapusan hutan baharu, penggunaan tenaga yang lebih lestari mengikut standard operasi.

“Namun, kita sekarang lebih ke arah fasa kedua iaitu disebut sebagai kitaran ekonomi dengan menggunakan bahan buangan kita. Ini baru sahaja diberikan penekanan dan kita sudah menubuhkan penguatkuasa antara Felda dan FGV. Melalui perbincangan yang dibuat hari ini, saya percaya banyak input baharu akan diperkenalkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×