KUALA TERENGGANU: Speaker Dewan Rakyat perlu mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen sebagai kosong kerana keahlian mereka daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah gugur secara automatik.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, notis kekosongan kerusi enam Parlimen itu akan dihantar Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, notis kekosongan kerusi kepada Johari akan dihantar selepas enam ahli Parlimen itu didapati gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan sebelum ini.
“Oleh itu, Speaker Dewan Rakyat tidak boleh menolak notis kekosongan tersebut kerana perlu mengikut perlembagaan ditetapkan.
“Kita maklum dengan pelbagai ulasan daripada peguam dan penganalisis politik mengenai kekosongan itu dan ia adalah pendapat mereka namun bagi Bersatu, pengisytiharan kekosongan perlu dibuat oleh Speaker dalam kadar segera.
“Saya berpendapat Speaker tak boleh nak buat helah lagi dan perlu isytihar kekosongan mengikut perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Penggiat Seni Budaya di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, di sini, hari ini.
Isu mengenai enam Ahli Parlimen itu hangat diperkatakan setelah mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Mengulas lanjut, Razali menegaskan notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan Bersatu yang telah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Jika Speaker tidak isytihar kekosongan kerusi Parlimen, kita bimbang ia akan menimbulkan polemik terhadap kedaulatan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










