Dua pembantu penguasa Kastam didakwa 14 pertuduhan terima rasuah

Dua pembantu penguasa Kastam didakwa 14 pertuduhan terima rasuah

CHE Mohd. Taufik Che Arif (hadapan, tengah) dan Mohd. Afiq Ikhwan Ramli (belakang, tengah) mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas 14 tuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 tuduhan menerima rasuah sebanyak RM12,500 sejak 2017 sehingga 2023.

Tertuduh, Che Mohd. Taufik Che Arif, 33, yang berdepan 13 pertuduhan dan Mohd. Afiq Ikhwan Ramli, 30, satu tuduhan, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Che Mohd. Taufik sebagai pembantu penguasa JKDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa secara rasuah memperoleh suapan keseluruhan RM9,000.

Sementara itu, Mohd. Afiq Ikhwan pula didakwa menerima suapan berjumlah RM3,500.

Bayaran itu diterima secara dalam talian daripada seorang lelaki yang juga pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan tidak memeriksa lori-lori milik syarikat terbabit membawa keluar barang dari kargo KLIA.

Che Mohd. Taufik dan Mohd. Afiq Ikhwan didakwa melakukan perbuatan itu sebuah bank di Jertih, Besut antara 17 Disember 2017 sehingga 12 April 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah oleh kedua-dua tertuduh, mahkamah menetapkan 18 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.

Mahkamah kemudian turut membenarkan Che Mohd. Taufik dan Mohd. Afiq Ikhwan diikat jamin masing-masing RM16,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mereka juga dikenakan syarat tambahan menyerahkan passport kepada mahkamah, melapor diri di Pejabat SPRM terdekat serta tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan sepanjang prosiding.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ridha Abdah Subri.

SPRM sebelum ini mendedahkan jumlah ketirisan hasil cukai mencecah RM2 bilion akibat kegiatan sindiket penyeludupan babitkan beberapa anggota JKDM di Kargo KLIA Sepang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, setakat ini, 34 anggota JKDM dan 27 individu termasuk pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 disyaki terlibat dengan aktiviti sindiket itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN